Thursday, October 31, 2013

Sg Limau: Adakah ‘Kekal’ atau ‘Berani Hijrah’?

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.20 Sungai Limau kini sudah pun memasuki ke fasa terakhir kempen yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum hari pengundian pada Isnin, 4 November 2013.

Pengundi DUN Sungai Limau ini berjumlah seramai 27,222 orang dengan komposisi mengikut kaum iaitu 93 peratus ialah pengundi Melayu, 6.7 peratus pengundi Cina, 0.6 peratus pengundi India dan selebihnya kaum-kaum lain. DUN Sungai Limau ini terletak di bawah Parlimen Jerai yang telah berjaya ditawan oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu melalui calonnya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom manakala dua lagi DUN iaitu Guar Chempedak dan Gurun juga dikuasai BN.

Kerusi DUN Sungai Limau ini boleh dikategorikan sebagai kubu kuat PAS kerana penyandangnya sebelum ini, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut semenjak tahun 1995 yang pada ketika itu dikenali dengan nama DUN Sala. Melihatkan majoriti yang dimenangi setiap kali pilihanraya tersebut, ia ada turun naiknya bermula pada PRU 1995 dengan majoriti hanya 196 undi, PRU 1999 dengan majoriti meningkat kepada 2621 undi, PRU 2004 dengan majoriti menurun kepada 1080 undi, PRU 2008 dengan majoriti 3212 undi dan yang terkini PRU 2013 dengan majoriti 2774 undi.

Menyorot kembali keputusan PRU 13 yang lalu, daripada keseluruhan 57 saluran mengundi, PAS berjaya memenangi 39 saluran manakala BN menang di 18 saluran mengundi biasa dan undi pos. PAS berjaya menguasai 14 Pusat Daerah Mengundi manakala BN berjaya berkubu di 5 Pusat Daerah Mengundi iaitu Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kecil dan Dulang Besar. Hal ini dapat dilihat dengan pencapaian BN memenangi kesemua saluran di kelima-lima pusat daerah mengundi tersebut. BN turut memenangi dua saluran pengundi muda di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, dan empat saluran pengundi tua iaitu di Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat.



Nama dan jasa Almarhum Ustaz Azizan begitu dekat dengan jiwa sanubari pengundi di DUN ini sehinggakan aura Almarhum Ustaz diulang sebut dan mendominasi tema dalam kempen PRK ini. Calon PAS, Ustaz Azam Abd Samat telah berjanji untuk meneruskan legasi Almarhum Ustaz Azizan, cuma yang agak pelik dalam PRK ini parti BN juga turut tumpang sekaki menggunakan imej Almarhum Ustaz dalam kempen mereka. BN begitu bermurah hati mencetak banner membuat seruan pengundi menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz.

DUN ini berlatarbelakangkan majoriti pengundinya adalah petani dan nelayan yang begitu mementingkan aspek keagamaan. Hal ini dapat dilihat, apabila di pihak PAS menurunkan calon yang berpendidikan agama manakala calon BN, Dr Sohaimi Lazim menetapkan agenda utama beliau ialah membangunkan modal insan dan pendidikan.

Sungguhpun calon BN tersebut mempunyai kelebihan daripada sudut taraf pendidikan kerana berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Politik namun, ia bukanlah indikator utama pengundi dalam membuat pilihan. Pengundi di kawasan luar bandar biasanya lebih cenderung untuk memilih calon yang mesra, prihatin, mudah didekati dan rajin turun ke lapangan bersama rakyat.

Secara amnya, suasana kempen dalam PRK ini agak tenang dan tidak banyak berlaku insiden yang tegang. Hal ini mungkin atas faktor suasana dan budaya setempat yang mementingkan ‘politik damai’ berbanding ‘politik serang’. Bahkan, menurut laporan BERNAMA perang poster juga suram dalam PRK tersebut , berbeza dengan kebiasaan semasa pilihanraya umum dan pilihanraya kecil di tempat lain.

Hanya satu sahaja yang sama iaitu BN terus menggunakan senjata tradisinya setiap kali pilihanraya iaitu taburan wang, bantuan dan janji pembangunan kepada pengundi.Sebagai buktinya, disenaraikan di sini bantuan yang BN telah umumkan iaitu peruntukan kepada Madrasah Mazahirul Ulum (RM400,000), peruntukan kepada Sekolah Menengah Agama Nahdzah (RM3 Juta), peruntukan kepada 12 sekolah lain (RM 1.2 Juta), Insentif Program Bantuan Azam Tani Mara (RM802,700), bantuan zakat Agrobank (RM19,700), pinjaman TEKUN (RM30,000), peruntukan Masjid Simpang Empat (RM 300,000), sumbangan kepada badan persatuan guru-guru KAFA dan 33 masjid lain (RM 118,000), bantuan baiki rumah (RM1 Juta), pemberian cermin mata (RM 1.18 Juta), peruntukan kepada jeti perikanan (RM 500,000), peruntukan untuk tukun tiruan (RM 2.5 Juta) dan peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM 2 Juta). BN juga turut memberikan sumbangan dalam bentuk anak pokok, baja, anak ayam, buku agama, surah Yassin, set pembesar suara, minyak masak Saji dan sabun mandi keluaran Felda. Apabila dikira kesemua ini ia berjumlah RM 13.07 Juta. Bayangkan betapa besarnya kos perbelanjaan peruntukan kerajaan yang digunakan oleh BN. Ini belum lagi dicampur dengan kos lain seperti terbitan bahan kempen, sewaan tempat dan penganjuran program. Harus diingat wang yang digunakan ini bukanlah wang parti tetapi ia adalah wang rakyat yang diuruskan oleh kerajaan.

BN juga terus tanpa segan silu memperalatkan kementerian dan agensi kerajaan termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan lain-lain.

Antara isu kontroversi pada PRK kali ini ialah kenyataan TPM, Tan Sri Muhyidin Yassin yang cuba menjustifikasikan kenaikan harga gula dengan penyakit kencing manis yang dihadapi oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan. Tindakan sebegini sememangnya menjadi modal terbaik untuk PAS menyerang kembali BN kerana sanggup menghina insan yang sudah tiada di alam ini demi mendapatkan undi. Adakah TPM terlupa bahawa pengundi DUN ini begitu menyayangi Almarhum.? Gara-gara tersilap tekan ‘button’ ini, semalam TPM cuba membuat ‘control damage’ dengan memohon maaf kepada keluarga Almarhum.

Namun, di peringkat PAS juga ada isu yang hangat yang boleh mencalar imej parti dan calon iaitu wujudnya ‘gambar palsu’ calon bersama Almarhum Ustaz dalam risalah profil calon. Setelah isu tersebut didedahkan pada muka depan akhbar Sinar Harian,lantas pihak tertinggi jentera pilihanraya mengakui bahawa kesilapan itu kerana terlepas pandang, tidaklah disengajakan serta siasatan akan dibuat terhadap pereka grafik yang memuatkan gambar tersebut.

Isu lain yang menjadi ‘peluru’ bagi kempen PAS ialah tindakan kerajaan BN yang menaikkan harga gula dan cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Bajet 2014 yang baru dibentangkan juga tidak banyak mempunyai faktor ‘wow’ untuk menarik pengundi maka PAS berkelebihan untuk menerangkan isu tersebut agar pengundi tidak terpedaya dengan janji manis BN setiap kali berlakunya pilihanraya.

Di samping itu, keberkesanan strategi menganjurkan ceramah adalah penting untuk dinilai kembali oleh PAS. Hal ini kerana kita perlu mengakui bahawa strategi pergi bertemu secara terus dan ‘personal touch’ oleh calon kepada pengundi adalah lebih baik dan berkesan berbanding kita mengharapkan pengundi untuk datang mendengar celoteh barisan penceramah. Lebih malang lagi, jika kita membuat jangkaan sokongan dengan berpandukan bilangan mereka yang hadir ke ceramah tersebut. Bukan kesemua yang mendengar itu adalah pengundi DUN tersebut dan mungkin yang menjadi peramai majlis itu ialah petugas parti kita sendiri dan orang luar yang ingin bersua muka dengan tokoh-tokoh pemimpin Pakatan Rakyat.



Di pihak jentera perlu terus giat menyusun strategi yang bersifat lebih mesra dan terus kepada pengundi di samping memperingatkan para tukang kempen agar menjadi ‘a good listener’ untuk mendengar isi luahan hati pengundi. Pendekatan sebegini pasti lebih menyentuh hati sanubari pengundi untuk tertarik kepada calon kita berbanding pendekatan yang bersifat menyerang dan mengutuk pihak lawan. Perbanyakkanlah menerang daripada menyerang kerana adat Melayu begitu mementingkan budaya saling menghormati dan sopan-santun. Begitu juga perihalnya dengan pengundi muda dan wanita. Mereka ini adalah sasaran utama yang perlu diberikan perhatian khusus kerana majoriti pengundi adalah dalam kelompok ini.

Akhir sekali, PAS Kedah wajar mengambil peluang PRK Dun Sungai Limau ini sebagai medan untuk merapatkan kembali saf perjuangan serta menutup kisah duka lama konflik dalaman yang wajar dijadikan iktibar apabila kita diberikan amanah berkuasa. Pepatah Melayu ada menyebut, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” mengingatkan peri-pentingnya kesepaduan dalam organisasi untuk bukan sahaja menang tetapi mengisi dan mempertahankan kemenangan yang jauh lebih mencabar.

Buat para pengundi DUN Sungai Limau, kita yakin akan kebijaksanaan mereka untuk terus ‘Kekal’ dengan memilih calon PAS. Mereka tidak mudah terpedaya dengan slogan ‘Berani Hijrah’ yang digunakan BN kerana hijrah itu ke arah yang lebih baik dan bukan berubah ke arah yang lebih buruk. Bak kata Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa pengundi DUN Sungai Limau akan buktikan bahawa mereka akan menjadi “ikan yang cerdik dengan hanya mengambil umpan dan tidak memakan joran sekali”.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan PAS.

No comments: