Keputusan melantik Lajim Ukin sebagai Ketua PKR Sabah; setelah berpaling tadah dari UMNO tahun sudah, terbukti satu keputusan yang salah dari semua segi.
Ini setelah 2 ADUN PKR dari Matunggong dan Kadamaian bersama 11 pemimpin PKR negeri yang lain keluar parti dan mengisytiharkan sokongan terhadap Barisan Nasional di PWTC semalam kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Lajim.
Dengar cerita ada lebih ramai lagi pemimpin PKR negeri yang akan turut keluar parti, silap-silap hari bulan, PKR Sabah boleh bungkus terus.
Senang cerita kita boleh kata semua mereka ini dibeli BN, tapi itu nampaknya terlalu mudah. Apatah lagi BN di Sabah sudah ada majoriti 2/3 di DUN dan mengapa mereka perlu membazirkan wang untuk membayar wakil rakyat pembangkang?
Pandangan seumpama ini bukan sahaja tidak masuk akal, tapi juga boleh menyebabkan Pakatan Rakyat mengalih pandangan dari masalah sebenar yang berlaku kepada kepimpinan PKR di Sabah iaitu kepimpinan Lajim yang ditolak rakyat negeri tersebut.
Aku rasa, untuk menyelesaikan masalah ini, elok dikembalikan tugas mengetuai PKR Sabah kepada Timbalan Presiden, Azmin Ali seperti mana dulu. Itu lebih baik kerana sebagai orang luar, Azmin tidak terlalu terikat dengan politik berasaskan etnik yang menjadi kebiasaan di Sabah.
Sebarang keputusan yang dibuat Azmin sebagai ketua PKR negeri pasti akan mudah diterima oleh pemimpin akar umbi parti tersebut berbanding dengan Lajim yang masuk PKR pun bukan atas sokongan dari penyokong peringkat bawah, sebaliknya lantikan terus oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Benar, Lajim menang di DUN Klias dalam PRU13 yang lepas, tapi itu bukan bermakna dia layak untuk memimpin PKR negeri. Klias dan Lajim pun bukan baru, semasa menjadi pemimpin UMNO, Lajim sudah menjadi ADUN di kawasan tersebut selama beberapa penggal.
Itupun, DUN Klias berkemungkinan terlepas semula ke tangan UMNO jika Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihanraya Kota Kinabalu yang menerima petisyen dikemukakan calon UMNO di DUN tersebut pada 6 Ogos yang lepas.
Oleh yang demikian Lajim, berundurlah sebelum lebih banyak masalah datang.
No comments:
Post a Comment