Friday, November 8, 2013

PAS Sepatutnya Sudah Lama Bubarkan Majlis Syura

Cadangan supaya Majlis Syura Ulama PAS ini dibubarkan, sebetulnya sudah lama kedengaran.  Cuma tak pasti pula aku kenapa ia tidak pernah diketengahkan. ke peringkat yang lebih sesuai.

Tapi menjelang Muktamar PAS, 22 November ini, seruan ini kembali kedengaran - bersesuaian pula dengan fungsi Majlis Syura yang semakin tidak relevan dengan perjuangan PAS, terutama yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat sebagai komponen yang lebih besar.

PAS sebagai satu parti berasingan tidak ada masalah mempunyai Majlis Syura sebab sebarang keputusan tidak menjejaskan mana-mana pihak di luar PAS, berlainan dengan keadaan sekarang dimana PAS telah bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Memang fungsi dan kewujudan Majlis Syura Ulama yang hanya wujud sekitar awal 80-an ini sudah sepatutnya boleh dikaji semula.  PAS sudah tidak lagi boleh mempunyai badan yang terlalu berkuasa di dalam parti tersebut, tapi tidak selari dengan aspirasi ahli kerana tidak dipilih secara demokratik.

Ahli nak lain, Majlis Syura buat keputusan lain.

Lagipun aku difahamkan penubuhan Majlis Syura itu adalah kerana PAS pada ketika itu terpengaruh dengan Badan Pelindung Iran setelah Revolusi 1979.  Fungsinya samalah tu.

PAS patut kembali kepada struktur pentadbiran yang lama, sebelum pindaan perlembagaan pada 1982 yang membenarkan penubuhan Majlis Syura Ulama.  Presiden PAS perlu kembali diberi kuasa penuh untuk mentadbir parti.

Selain tidak demokratik, kewujudan Majlis Syura ini menyusahkan banyak pihak dalam Pakatan Rakyat.  Terutama, bila berbangkit, isu-isu berkaitan polisi dan dasar Pakatan Rakyat mengenai Islam, ada saja halangan dan bantahan dari Majlis Syura.

Contohnya dalam isu berkaitan kalimah Allah.  Pakatan Rakyat telah ada persetujuan bersama, tak berapa lama selepas itu, Majlis Syura Ulama keluar dengan keputusan sendiri, ini berkomponen macam mana?

Peliknya tu, orang-orang PAS, termasuk Presidennya yang sama-sama bersetuju dengan Pakatan Rakyat untuk menyokong kalimah Allah ini digunakan oleh pihak gereja, mengambil pendirian yang selari dengan keputusan Majlis Syura Ulama!!

Begitu juga dengan hudud.  Seingat akulah, dah lama kita jelaskan hudud ini bukan sebahagian agenda Pakatan Rakyat, tapi sedar atau tidak, dalam sibuk-sibuk kempen pilihanraya kecil Sungai Limau, PAS mengadakan Hari Hududullah di Kota Bharu.

Tak ke gila namanya tu?

Akhirnya, yang jadi bahan ketawa masyarakat ialah PAS dan Pakatan Rakyat sendiri.  Dikatakan kita ini tidur sama-saman, mimpi asing-asing.  Adakah patut macam itu?

Sebab itulah aku menyokong saranan agar Majlis Syura Ulama ini dibubarkan dari berterusan menjadi duri dalam daging kepada kemajuan Pakatan Rakyat sebagai komponen yang kuat dan boleh menggantikan BN di peringkat pusat.

Percayalah, selagi Majlis Syura Ulama wujud, selama itulah Pakatan Rakyat tidak akan didaftarkan, dan seterusnya menjadi satu entiti rasmi yang sah untuk bertanding satu dengan satu melawan BN.

No comments: