Saturday, December 7, 2013

Hidup 1Melayu!

Terus-terang, saya tidak terkejut dengan saranan Datuk Musa Sheikh Fadzir supaya slogan muluk “1Malaysia” digantikan dengan ucapan “Salam 1Melayu”. Sebaliknya saya menyokong pandangan beliau yang dikemukakan pada 5 Disember 2013.
Mungkin Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan wanita anggun, Datin Seri Rosmah Mansor terkejut dan kecewa dengan “sokongan terbuka” yang saya berikan terhadap gesaan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang itu.
Sebenarnya, slogan “1Malaysia” diperkenalkan dalam keadaan “separuh masak” pada April 2009. Atas sebab itulah juga sehingga kini tidak ada seorang pun anggota Kabinet dan pemimpin parti-parti komponen BN yang akan mampu menjelaskan secara tepat apakah makna sebenar slogan tersebut.
Atas sebab itulah juga seawal 19 Oktober 2010, apabila ditanya orang, saya akan mengatakan bahawa saya lebih memilih “7Malaysia”. Lalu orang akan bertanya “Mengapa 7Malaysia, sedangkan ada satu negara Malaysia sahaja?” dan saya akan menjawab “Mengapa pula perlu meletakkan angka 1?”
Maka akan berhujahlah orang-orang yang “separuh masak” bahawa slogan “1Malaysia” menggambarkan semangat “rakyat Malaysia yang bersatu-padu” dan entah apa-apa lagi ayat-ayat retori tanpa makna. Sebahagian hal ini (termasuk laporan di akhbar) ada saya dokumentasikan di blog.
Jika benarlah segala hujah itu, mengapa pula Musa tiba-tiba tampil “mendedahkan” konsep sebenar penggunaan slogan itu? Berdasarkan hujah wakil Pulau Pinang itu sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), slogan “1Malaysia” tidak sesuai digunakan kerana “kaum lain” gagal membantu Umno Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Kita tak payah lagi cakap 1Malaysia; tukar kepada 1Melayu. Buat apa nak tolong depa (mereka); kita tolong depa, depa tikam belakang kita,” tegasnya sepertimana dilaporkan media.
Selama ini, orang ramai tertanya-tanya apakah pemimpin dan juak-juak BN ikhlas dalam melaung-laungkan slogan muluk “1Malaysia”. Kini sudah terbukti bahawa Umno tidak ikhlas; sebaliknya hanya sedia menganggap “kaum lain” sebagai sebahagian daripada warga Malaysia sekiranya mereka (kaum lain) sedia menolong Umno dalam PRU. Jika tidak, biarlah hanya semangat “1Melayu” menjadi pegangan BN.
1Malaysia dan agenda Bar1san Nas1onal
Najib berhak untuk kecewa kerana seolah-olah “rahsia” yang tersimpan kemas sejak April 2009 akhirnya pecah. Nampaknya Musa terlupa akan pegangan orang Melayu: Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Namun, apakan daya kerana terlanjur perahu boleh dimudik, terlanjur kata buruk padahnya. Kini, seluruh jentera BN terpaksa pula bekerja keras meyakinkan kembali rakyat Malaysia – khususnya “kaum lain” – bahawa semangat yang dibawakan oleh BN-Umno adalah “1Malaysia” dan bukan “1Melayu” semata-mata.
Akan tetapi, orang ramai sebenarnya sudah faham benar akan manipulasi politik yang dilakukan menggunakan slogan “1Malaysia” bilamana logo berkenaan diselitkan pada nama BN menjadi “Bar1san Nas1onal” di mana huruf “i” digantikan dengan logo “1Malaysia”.
Maknanya, seolah-olah “1Malaysia” adalah sebahagian daripada agenda BN; bukan agenda kerajaan (pemerintah). Dan tentu sahaja apabila disebutkan agenda BN, ia merujuk secara khusus kepada agenda Umno.
Musa juga sudah mendedahkan “rahsia yang sedia diketahui umum” iaitu parti-parti lain dalam BN tidak ada apa-apa kuasa. Sebaliknya “tuan” dalam BN adalah Umno manakala parti-parti lain seolah-olah hanyalah “pengikut” dan “juak-juak” yang hanya perlu menurut arahan.
“Tempat dia (parti-parti lain dalam BN) bertanding, kita kerja siang-malam; tempat kita (Umno) bertanding, dia kerja tak sampai sehari,” Musa khabarnya berucap dengan penuh bersemangat di PWTC.
Baguslah juga Musa berani mendedahkan wajah sebenar Umno. Akan tetapi, apabila menggunakan slogan “1Melayu” atau “Salam 1Melayu” atau “Hidup 1Melayu”, timbul persoalan lain – selain daripada pertanyaan apakah ucapan “Assalamualaikum” sudah tidak memadai serta cukup afdal dalam kalangan orang Umno-Melayu-Islam.
Pertanyaan lain adalah berkaitan penggunaan kata “Melayu” itu sendiri. Khabarnya Musa sendiri bukanlah orang Melayu tetapi India-Muslim. Namun begitu, ada juga yang berkata, sedangkan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh “menjadi” Melayu secara sah, mengapa pula orang-orang lain sepertinya – India-Muslim – tidak boleh menuntut hak yang sama.
Pinda perlembagaan untuk halang Syiah
Perkara ini membawa pula kepada satu lagi persoalan atau topik yang berkaitan. Menurut laporan Bernama (6 Disember 2013), kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal membawa usul memasukkan perkataan “Sunnah wal Jamaah” dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata bahawa takrifan terperinci terhadap Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 11) akan dicadangkan bagi menghalang fahaman lain, termasuk Syiah, daripada berkembang di negara ini.
Perkembangan terbaru ini khabarnya ada kaitan secara langsung dengan beberapa karya Faisal Tehrani yang sedang diteliti oleh KDN untuk memastikan “penulisannya tidak mengandungi unsur fahaman Syiah dan menyimpang daripada fahaman Sunnah wal Jamaah yang diamalkan di negara ini” (Bernama, 6 Disember 2013).
Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, apabila perkataan “Sunnah wal Jamaah” dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, maka “tiada penganut agam Islam yang mempunyai fahaman lain dibenarkan mengembangkan fahaman mereka selain Sunnah wal Jamaah”.
Saya tidak akan terkejut sekiranya orang ramai – khususnya masyarakat Bukan Melayu-Islam – bertanya dan tertanya-tanya apakah penganut/pengikut mazhab Syiah di Malaysia akan diiktiraf sebagai “Bukan Islam” – sekali gus kehilangan segala hak dan keistimewaan sebagai orang Melayu!
Pertanyaan itu turut muncul dalam fikiran saya semasa melakukan tafsiran terhadap cadangan Zahid. Katakanlah pindaan sudah dibuat pada Perkara 11 dengan menetapkan “Islam (Sunnah wal Jamaah)” sebagai agama persekutuan.
Maka, secara automatik, pindaan itu turut memberikan kesan secara langsung kepada Perkara 160 yang antara lain akan menetapkan bahawa “Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama “Islam (Sunnah wal Jamaah)”, lazim bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.
Di bawah definisi baru itu nanti, orang Melayu yang mengamalkan mazhab Syiah adalah dianggap “Bukan Melayu” dan “Bukan Islam”. Saya tertanya-tanya sama ada Zahid sudah memikirkan perkara ini sebelum mengeluarkan kenyataan kepada wakil media.
Jangan sampai kampung tergadai!
Biar saya tekankan bahawa saya tidak sekali-kali menghalang atau menolak cadangan Musa supaya slogan muluk “1Malaysia” digantikan dengan laungan “1Melayu”. Begitu juga dengan cadangan Zahid supaya “Sunnah wal Jamaah” dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Cuma, saya memohon jasa baik Zahid supaya turut memasukkan frasa (cadangan) “orang Bukan Melayu yang masuk Islam (Sunnah wal Jamaah) masih tetap orang Bukan Melayu dan tidak berhak menggelarkan diri mereka sebagai orang Melayu” (Perkara 160).

Langkah ini amat penting bagi menggelakkan golongan ultra kiasu seperti Ridhuan Tee Abdullah (sekadar contoh terdekat) dan sebilangan orang India-Muslim “merampas” hak dan keistimewaan yang dikhususkan bagi “Orang Melayu” mengikut peruntukan perlembagaan negara.
Saya pernah menyentuh topik ini menerusi beberapa makalah yang boleh dirujuk di blog saya. Dalam keghairahan berdakwah dan mengalu-alukan orang Bukan Melayu memeluk agama Islam (Sunnah wal Jamaah), usah kita lupa akan kesan sampingan.
Janganlah pula selepas “menyingkirkan” penganut mazhab Syiah daripada menikmati hak/keistimewaan Melayu, Umno baru sedar bahawa masih ada “lubang” bagi orang-orang seumpama Ridhuan Tee untuk mengiktiraf dirinya “Melayu” serta merampas segala hak dan keistimewaan yang sebenarnya menjadi milik sah orang Melayu.
Bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Maka, alang-alang mahu meminda Perlembagaan, pastikan hak Melayu-Islam (Sunnah wal Jamaah) terpelihara sepenuhnya tanpa “jatuh” ke tangan golongan oportunis.
Jangan lupa bahawa Ridhuan Tee sudah pun “menyangka” dirinya orang Melayu dan khabarnya (masih dalam siasatan) menyeru supaya “penghapusan etnik” dilakukan terhadap orang Bukan Melayu.
Janganlah pula nanti selepas slogan “1Melayu” diperkenalkan dan frasa “Sunnah wal Jamaah” berjaya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutun Malaysia, segala-galanya menjadi umpama kisah Pak Kaduk; ayam menang tetapi kampung tergadai.
Tepuklah dada, tanyalah selera. Renung-renungkanlah dengan fikiran yang tenang dan waras tanpa cepat melatah.
Uthaya Sankar SB adalah kolumnis FMT sejak Januari 2011. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com.

No comments: