Saturday, December 7, 2013

Presiden MCA: Peluang Tiong Lai terbuka luas

  • Datuk Seri Liow Tiong Lai Datuk Seri Liow Tiong Lai
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Keputusan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak mempertahankan jawatannya mungkin memberi kelebihan kepada timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi parti itu.

Setakat ini, selain daripada Tiong Lai yang kini tidak sebulu dengan Soi Lek, mantan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan naib presiden parti Gan Peng Shieu juga mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding bagi kerusi Presiden parti di pemilihan parti 21 Disember depan.

Para perwakilan parti pula sudah mula bersuara "sama ada ikut kereta nombor pendaftaran 15 (nombor kereta rasmi Tiong Lai ketika menjadi menteri kesihatan) atau guna GPS (merujuk kepada akronim Gan Peng Shieu) untuk menentukan keputusan pemilihan".


Keputusan Soi Lek untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden bererti penyokong-penyokong tegarnya yang juga mewakili sebahagian besar ahli perwakilan kini berpecah dalam memilih pemimpin baru.

"Besar kemungkinan penyokong Soi Lek akan membuat pilihan mereka sendiri, Kalau pun Soi Lek mahu mereka memilih calon tertentu. Bukan semua akan menurut kemahuannya kerana beliau tak bertanding," kata bekas ketua pemuda MCA Sabah dan penyokong kuat Tiong Lai, Chew Kok Woh.

Chew menjelaskan lagi memandangkan Tee Keat turut bertanding jawatan yang sama, penyokong Soi Lek juga mungkin terpaksa memilih antara Tee Keat atau Gan kerana kedua-duanya berkongsi kumpulan penyokong yang sama.

Gan pernah menjadi penyokong tegar Tee Keat dan merupakan antara orang kanannya semasa Tee Keat menyandang jawatan presiden parti.

"Undi mereka akan berpecah antara kedua-nya sekiranya Tee Keat masih meneruskan dengan hasratnya bertanding jawatan Presiden.

"Gan tidak boleh bergantung kepada penyokong-penyokong Soi Lek memandangkan bukan semua yang akan menyokongnya. Ini yang akan memberi kelebihan kepada Tiong Lai," tambah Chew.

Berdasarkan hasil pemilihan parti 2010 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang baru berakhir untuk mencela Tiong Lai, Soi Lek berjaya mengekalkan sokongan padu daripada kira-kira 900 orang perwakilan sementara Tiong Lai pula mempunyai sokongan padu daripada lebih kurang 800 perwakilan.

Bakinya sama ada penyokong Tee Keat, seorang lagi mantan presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting serta adiknya Datuk Seri Ong Ka Chuan atau naib presiden Datuk Donald Lim.

Memandangkan ahli perwakilan yang sama akan mengundi di pemilihan parti pada 21 Disember, 900 undi Soi Lek dilihat sebagai penting dalam menentukan pemenang di pemilihan parti tahun ini.

Bagaimanapun, persoalannya kini sama ada Soi Lek boleh mempengaruhi penyokongnya tentang siapa yang mereka perlu sokong? Daripada segi jumlah, MCA mempunyai 2,385 perwakilan di pemilihan parti 21 Disember depan.

No comments: