Friday, December 20, 2013

Tahan Remaja Hina Islam Di FB: PEKIDA Memang Samseng?

Dakwaan yang mengatakan Pertubuhan Dakwan & Islamiah Malaysia (PEKIDA) sebagai satu pertubuhan samseng Melayu, bukan satu cerita baru, malah sudah zaman berzaman diperkatakan orang.

Aku katakan - diperkatakan orang, bukan aku yang menuduh atau kata.

Malah, penglibatan pertubuhan ini dengan kegiatan gangsterisme pernah didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri melalui satu rakaman ceramah yang terbocor di Melaka sebelum pemilihan UMNO yang lepas.

'Kesamsengan' anggota PEKIDA terserlah lagi bila laporan yang mengatakan anggota pertubuhan tersebut berjaya mengesan dan menangkap seorang remaja yang didakwa menghina Islam di Facebook, mula tersebar sejak semalam.

Kejadian yang di dakwa berlaku di Miri Sarawak itu, melibatkan seorang remaja cina, pelajar kolej berusia 23 tahun yang dituduh mengeluarkan perkataan menghina orang Melayu dan Islam di akaun Facebooknya sehingga mendatangkan kemarahan orang ramai.

Tapi perbuatan (walaupun salah) itu masih tidak mewajarkan PEKIDA untuk mengambil tindakan sendiri dengan menangkap remaja berkenaan di rumahnya.  Siapa PEKIDA untuk berbuat demikian, apa kuasa yang PEKIDA ada untuk menangkap remaja tersebut?

Jika PEKIDA ada maklumat yang mengatakan remaja itu menghina Islam, seharusnya maklumat itu dikongsikan bersama pihak polis agar tindakan sewajarnya mengikut undang-undang boleh diambil, bukannya PEKIDA sendiri yang pergi ke rumah remaja itu dan menangkapnya macam samseng.

Ini bukan negara rimba, negara ini ada undang-undang.

Apa yang dibuat PEKIDA ini seolah-olah menafikan kuasa polis untuk bertindak mengikut perundangan yang ada.  

Dalam masa yang sama, aku pelik juga.  Macam mana PEKIDA boleh mengesan remaja tersebut sampai ke rumah?  Adakah PEKIDA mempunyai cawangan ITnya sendiri sehingga boleh mengesan suspek melalui alamat IP?

Jika ini benar, wah, hebat betul pertubuhan yang di dakwa pertubuhan samseng Melayu ni ya?  Dah macam CIA pulak nampak gayanya.

Justeru, UMNO perlu menjelaskan bagaimana pertubuhan macam PEKIDA ini boleh memiliki keupayaan yang setanding dengan agensi perisikan antarabangsa?  UMNO perlu menjawab kerana pertubuhan ini pernah dikaitkan dengan bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pakatan Rakyat akan siasat perkara ini dengan lebih mendalam.  Para peguam kita akan dihantar untuk membantu pelajar kolej tersebut dengan bantuan perundangan secara percuma.  Soal dia benar-benar menghina Islam atau tidak, itu cerita lain, yang penting sekali, dia perlu diberikan bantuan.

Bagaimanapun, kebimbangannya disini ialah kebebasan rakyat untuk bersuara melalui medium seperti Facebook sudah lagi tidak terjamin keselamatannya sekarang.  

Kalau anggota PEKIDA boleh mengesan pengguna Facebook yang didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumahnya sendiri, apa lagi agaknya kemampuan mereka?

Inilah yang meresahkan kita semua.

No comments: