• Mohd Azizuddin Mohd Sani
 1 / 1 
SHAH ALAM - Isu penceraian Naib Presiden  PKR, Nurul Izzah Anwar akan memberi kesan kepada kedudukan dan sokongan jika tidak diselesaikan segera sebelum pemilihan parti itu, pada Mei ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata perkara yang melibat kehidupan peribadi Nurul Izzah itu akan menjadi satu modal kepada perwakilan dalam pemilihan kali ini.

Menurutnya, puteri reformasi itu perlu menyelesaikan isu rumah tangganya sebelum pemilihan kelak.

"Perkara itu akan memberi kesan kepada kedudukannya, yang juga orang kuat dalam PKR.

"Sebelum ini, telah timbul perkara yang mempertikaikan kedudukannya apabila tidak mampu menyelesaikan konflik rumah tangganya, bagaimana mahu menjaga rakyat.


"Jadi, kalau dia nak bertanding, dia perlu selesaikan cepat perkara itu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pada Khamis lalu, media melaporkan, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai disahkan memfail penceraian terhadap suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pemeriksaan rekod mahkamah mendapati kes perceraian antara Nurul Izzah dan suaminya itu wujud.

Nurul Izzah, 33, membuat tuntutan fasakh bagi membatalkan perkahwinannya dengan Raja Ahamd Shahrir Iskandar, 35, pada akhir Disember tahun lalu.

Raja Ahmad Shahrir Iskandar dipercayai menerima notis tuntutan itu pada 16 Januari lalu.

Bagaimanapun beliau meminta prosiding berkenaan ditangguhkan selama dua minggu bagi membolehkan pihaknya menyedikan dokumen berkaitan.

Dalam pada itu, Mohd Azizuddin yang juga Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, walaupun Nurul Izzah mempunyai ramai penyokong daripada akar umbi namun isu berkaitan peribadi akan memberi kesan besar kepada kehidupannya dan juga politik.

"Kalau isu ini dia tak mampu selesai, dia perlu berehat, sebab isu ini akan bagi kesan kepada kehidupan peribadinya, bukan bersara terus tapi sebiaknya tidak bertanding," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, manakala dua lagi pemimpin PKR yang dilanda kontroversi Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin adalah satu kekuatan untuk pemilihan.

"Mereka akan guna itu sebagai modal untuk pemilihan parti nanti," katanya.