Wednesday, February 5, 2014

Bekas Adun Kajang: Tak banyak bakti boleh dikenang

  • Bekas Adun Kajang: Tak banyak bakti boleh dikenangSimpang di Kampung Sungai Chua yang didakwa membahayakan pengguna jalan raya.
 1 / 3 
KAJANG – Bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh yang menggalas jawatan itu selama lapan bulan didakwa tidak banyak meninggalkan bakti yang boleh dikenang penduduk di kawasan itu.

Difahamkan, banyak masalah dan aduan diajukan kepadanya belum sempat diselesaikan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan secara mengejut pada 27 Januari lalu.

Di Taman Putra Kajang, beberapa penduduk mendakwa sudah membangkitkan isu sampah dan jalan berlubang kepada wakil rakyat itu untuk diambil tindakan segera.


Wakil penduduk, Hazdi Khalid, 38, berkata, masalah sampah dan jalan berlubang bukanlah perkara baru kerana ia sudah berlaku sejak zaman wakil rakyat penggal lalu.

"Penduduk ingat masalah dapat diselesaikan bila dapat wakil rakyat baru Mei lepas, tapi kecewa.

"Wakil rakyat yang ni tak pernah bertentang mata dengan penduduk, tahu-tahu sudah letak jawatan," dakwanya.

Menyentuh masalah di Apartmen Mawar, katanya, rumah sampah yang terletak dalam pangsapuri terbakar, sisa buangan bertaburan atas jalan.

“Apabila diajukan kepada majlis perbandaran, mereka jawab pangsapuri kawasan persendirian. Bila adu kepada wakil rakyat, tiada apa-apa juga.

Jadi sebagai pengundi apa yang kami dapat?” katanya.

Selain masalah sampah, penduduk juga, katanya, kecewa melihat lubang memenuhi jalan di kawasan perumahan dan laluan utama.

Bila minta jalan diturap, jawapan standard diberikan adalah pihak itu dan ini tiada peruntukan.

“Sekiranya, wakil rakyat bernama besar menang, kami tidak pasti masalah diutarakan dapat diselesaikan atau tidak.

“Harapan kami, pengundi semua bijak memilih calon yang boleh mewakili suara mereka bukan yang mewakili suara parti politik sahaja,” katanya.

Sementara itu di Sungai Chua, penduduk mendakwa desakan mereka supaya jalan utama yang menghubungkan pengguna dari lebuh raya ke pekan Kajang sebelum ini dilebarkan juga seperti tiada apa-apa makna.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kong, 56, berkata, wakil rakyat bertukar ganti, namun keadaan penduduk tetap sama dan tiada perubahan.

Menurutnya, banyak simpang jalan membahayakan di sepanjang laluan itu dan pernah meragut beberapa nyawa.

Kajang dikategorikan sebagai bandar, namun kebanyakan jalan seolah-olah digambarkan seperti di pekan kecil atau kampung.

Di laluan masuk ke Kampung Sungai Chua dari arah lebuh raya, katanya, simpang sedia ada terlalu berbahaya kepada pengguna.

Kereta dari arah lebuh raya menuruni laluan berbukit menghala ke pekan Kajang, manakala penduduk kampung ingin membelok ke kanan masuk ke lebuh raya.

“Berapa banyak dentuman dan pelanggaran berlaku kerana jalan tidak ada garisan sempurna untuk keselamatan pengguna,” katanya.

Perkara itu juga, katanya, pernah diajukan kepada wakil rakyat sebelum ini dan bekas Adun sebelumnya, namun menghampakan kerana tiada tindakan diambil walaupun hanya untuk meletakkan garisan di simpang.

Kong mendesak bakal wakil rakyat akan datang dapat menaikkan taraf simpang jalan yang mendatangkan risiko dan keadaan jalan yang tidak sempurna.

Seorang lagi penduduk, Tan Keng Chai, 56, memohon wakil rakyat dipilih selepas ini membina jejantas pejalan kaki menyeberangi Kampung Sungai Chua ke lokasi bertentangan.

Katanya, kemudahan lampu isyarat juga perlu dibina di simpang tiga itu untuk memudahkan kenderaan membelok tanpa perasaan bimbang.

“Saya desak wakil rakyat turun padang lihat sendiri masalah penduduk kampung. Jangan cakap sahaja tetapi habuk pun tiada. Wakil rakyat sebelum ini semua sama. Lepas ini diharapkan kami dapat wakil rakyat yang boleh menghulurkan pertolongan bila-bila diminta,” katanya.

No comments: