Monday, February 3, 2014

'Pas ada maruah, tolak Anwar relevan'

  • AspanAspan
 1 / 1 
SHAH ALAM - Penolakan beberapa pemimpin Pas terhadap calon PRK Dun Kajang iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat relevan memandangkan ia berlaku secara mengejut tanpa alasan yang munasabah.

Ahli DAP, Aspan Alias berkata, penolakan itu wajar kerana secara tiba-tiba Pas turut sama terheret dalam kemelut dalaman parti lain.

Menurutnya, Pas bakal menyaksikan berlakunya perubahan kepimpinan negeri Selangor seperti yang menjadi spekulasi ramai pihak.


"PRK ini seolah-olah memperlihatkan PKR menafikan kepentingan Pas sebagai rakan sekutu, dan berkemungkinan menganggap Pas akan mengikut telunjuk Anwar tanpa banyak soal.

“Berkemungkinan juga perkara ini tidak dirundingkan dahulu bersama Pas kerana PKR beranggapan Pas sabar dan hanya sebagai parti yang ‘disuruh pergi, dipanggil datang’ sahaja oleh PKR," katanya yang dipetik menerusi laman blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com.

Katanya, Pas sudah tentu ada maruah sendiri dan ahli-ahli parti itu yang bertemunya melahirkan rasa kurang senang dengan senario tersebut.

"Mereka mengakui bukan keldai politik sesiapa. Bagi mereka, PKR yang bermasalah, mengapa perlu bawa rakyat dan Pas ke dalam penyelesaian permasalahan PKR itu.

"Ada juga di kalangan mereka tampil berani mempersoalkan peletakan jawatan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh yang dilihat semata-mata mahu memberi laluan kepada Anwar, tanpa alasan yang kukuh di sebalik tindakan penuh tanda tanya itu," katanya.

Beliau merujuk kepada pandangan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan yang menyifatkan tindakan Chin Cheh haram kerana mengkhianati amanah serta memudaratkan rakyat.

"Pandangan begitu dilihat berbeza dengan pimpinan Pas Pusat seperti Timbalan Presiden, Mohamd Sabu dan Naib Presiden, Salahudin Ayub yang menyokong Anwar diletakkan sebagai calon.

"Pimpinan PR daripada PKR atau Pas menafikan penampilan Anwar dalam PRK itu sebagai membuka laluan untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, walaupun itulah yang sebenarnya menjadi kegusaran pimpinan Pas di negeri itu," katanya.

Katanya, Anwar mempunyai peluang mendapatkan apa yang dihajatinya, walaupun kini ia masih menjadi spekulasi dan selagi mendapat sokongan padu DAP.

"Anwar ada Lim Guan Eng untuk mempertahankan beliau. DAP dan pimpinannya bersetuju dan menampung apa-apa kekurangan yang ada pada parti PKR itu.

“Rakyat Selangor ingin tahu di antara DAP dan PKR Selangor ini, siapa yang meng'kuda'kan siapa,” katanya.

No comments: