Monday, February 3, 2014

Sokong BN letak calon MCA di Kajang

  • SivarraajhC Sivarraajh
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda MIC menyokong penuh agar calon MCA diletakkan sebagai wakil BN pada PRK Dun Kajang, Selangor, kata ketuanya C Sivarraajh.

Beliau berkata, MCA wajar diberi ruang kerana parti itu kini melalui proses transformasi bersama kepimpinan baharu yang sesuai dengan kehendak rakyat terutamanya kaum Cina.

"Sebagai mengamalkan sikap setiakawan dalam gabungan Barisan Nasional, MIC komited sebulat suara menyokong penuh agar calon MCA diletakkan pada pilihan raya kecil ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Dalam usaha memberi kemenangan kepada BN, beliau berkata sayap parti itu akan memberi fokus kepada golongan muda terutama dalam menerangkan isu-isu nasional serta situasi politik masa kini.

Kerusi Dun Kajang kosong selepas anggota Dun itu Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas, dan pakatan pembangkang menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka jika pilihan raya kecil diadakan.

Sivarraajh berkata, Pemuda MIC melihat peletakan jawatan Chin Cheh tanpa sebab munasabah itu sebagai memperlekehkan kepercayaan yang telah diberikan pengundi kawasan tersebut kepadanya pada PRU13 Mei lepas.

 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi Dun Kajang pada 5 Februari ini. - Bernama

No comments: