Friday, March 21, 2014

Aktivis SAMM disoal siasat

chegubard3
KAJANG:  Aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia peringkat negeri Selangor Muhd Nur Ariff Md Yasir telah dipanggil semula untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pagi ini.

Empat hari lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang menjaga portfolio perpaduan nasional menyeru pengundi Cina Kajang agar mengundi calon dari kaum mereka, yakni Datin Paduka Chew Mei Fun.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis anjuran Jabatan Perpaduan Nasional

Ekoran itu Nur Ariff membuat laporan polis pada 18 Mac kerana ucapan Kurup berbaur perkauman.
Ketua SAMM, Badrul Hisham Mohd Shaharin  (gambar) hari ini mempersoalkan logik di sebalik tindakan polis memanggil semula Nur Ariff untuk siasatan.
“Sepatutnya Joseph Kurup yang dipanggil.  Beliau menyalahgunakan dana jabatan kerajaan untuk tujuan kempen.
“Perbuatan beliau melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya, Akta Hasutan dan banyak lagi akta lain,” kata Badrul yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard.
Beliau turut mendedahkan bahawa kempen BN berteraskan sentimen perkauman.
“Di kawasan Cina, mereka berkempen atas dasar C4C (Cina untuk Cina) dan di kawasan Melayu mereka berkata Pakatan Rakyat liberal dan anti-Melayu,” ujarnya.
PRK Kajang pada hari Ahad akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diisytiharkan kosong ekoran tindakan penyandang jawatan ADUN, Lee Chin Cheh dari PKR yang meletakkan jawatan pada  27 Januari.
Kerusi DUN ini mempunyai 39728 pengundi berdaftar. Dalam pilihanraya umum tahun lalu sebanyak 87.9% pengundi melaksakan tanggungjawab mereka. Hanya 541 undi rosak direkodkan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Che’gu Bard menyatakan bahawa pihak polis telah pun dimaklumkan berkenaan dengan Himpunan Reformasi 2.0 yang akan berlangsung malam ini di Stadium Kajang.
“Ia hanya sebahagian daripada kempen ceramah dan tidak banyak berbeza. Cuma sentimen protes lebih sedikit. Pihak saya dan PKR telah pun memaklumkan perkara ini kepada pihak polis 24 jam lalu,” katanya.