Monday, March 31, 2014

Karpal Singh Wajar Pilih Masuk Penjara


Hujung minggu sudah, dunia politik negara dikejutkan dengan 2 peristiwa besar, yang mana satu darinya berlaku secara tidak disangka-sangka.

Yang pertama ialah perletakan jawatan mengejut Karpal Singh sebagai Pengerusi DAP akibat hukuman denda RM 4,000 kerana menghina Sultan Perak 4 tahun dulu dan kedua, penawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan Presiden PKR walaupun dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun kerana kesalahan meliwat secara paksa Saiful Bukhari.

Aku hari ini berminat nak mengulas tentang perletakan jawatan Karpal Singh yang dilihat ramai sebagai tidak perlu kerana beliau masih mempunyai peluang untuk merayu di peringkat Mahkamah lebih tinggi.

Lagipun, jawatan Karpal Singh sebagai Pengerusi DAP melalui pemilihan pada September lepas masih belum diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) akibat laporan yang dibuat oleh ahli parti tersebut kononnya berlakunya penipuan dalam proses pemilihan semula.

Ramai pemerhati politik berpendapat, Karpal seharusnya tidak membayar denda itu, sebaliknya memilih untuk dipenjarakan.  Jika itu dilakukan Karpal, masa depannya dan Pakatan Rakyat akan lebih cerah kerana rakyat akan lebih bersimpati dengan Pakatan Rakyat.

Sejarah telah membuktikan, ini bukan kali pertama Karpal Singh didakwa atas kesalahan jenayah seperti ini, sudah beberapa kali.  Malah, Karpal juga pernah ditahan selama 2 tahun dibawah Akta ISA semasa Operasi Lalang 1987. 

Waktu itu, tidak pula kita lihat Karpal melepaskan apa-apa jawatan yang dipegangnya, malah RoS juga tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Karpal walaupun telah dipenjarakan.

Tindakan Karpal melepaskan jawatan ini sebenarnya hanya memberi persepsi yang tidak baik terhadap Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi bila dalam yang sama, Anwar turut menawarkan diri bertanding jawatan Presiden PKR walaupun telah disabitkan kesalahan yang jauh lebih berat dari Karpal.