Monday, March 31, 2014

Reformasi 2.0 Agak Sejuk, Apa Puncanya?


Sejak pelancaran Reformasi 2.0 di Stadium Kajang pada 21 Mac lepas, banyak pihak melihat momentumnya tidak sama seperti Reformasi 1.0 pada 1998 yang dulu.

Keadaannya agak 'sejuk' sedikit sekarang ini, melihat kepada jumlah peserta yang hadir di beberapa venue siri jelajah yang diadakan.  Di Kajang tempoh hari, lebih kurang 5 ribu orang, di Kelantan kelmarin sekitar 8 ribu orang dan keadaan hampir sama di Kedah malam tadi.

Berbeza sangat keadaannya pada ketika Reformasi 1998 dulu.

Pada waktu itu, pada bila-bila masa siri jelajah diadakan, jumlah yang hadir bukan ribu-ribu seperti sekarang, tapi ada kalanya mencecah ratusan ribu orang.  Pada satu ketika, Dataran Merdeka sahaja dipenuhi hampir 300,000 orang penyokong Reformasi.

Aku masih ingat tengah hari itu, Kuala Lumpur hampir lumpuh, sehingga ada laporan orang ramai sanggup meninggalkan pekerjaan masing-masing bila mendapat tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berucap di Anjung Masjid Negara.

Jalan jangan cakaplah, sesak dengan kenderaan, sampai ada yang sanggup meninggalkan kenderaan di tengah-tengah jalan dan berjalan kaki sejauh 3-5km semata-mata nak mendengar ucapan Anwar pada waktu itu.

Waktu itu bukan ada Twitter, Facebook atau BBM seperti sekarang, tapi rakyat masih hadir beramai-ramai untuk mendengar ucapan Anwar walaupun hanya mendapat makluman dari mulut ke mulut, kalau paling canggih pun, telefon dan email sajalah.

Maka itu Pakatan Rakyat akan mencari punca yang membawa kepada keadaan ini dan sehabis upaya mengembalikan momentum sama seperti mana 1998.

Kita tidak mahu rakyat terus terbuai dengan fitnah UMNO bahawa Anwar memang bersalah meliwat Saiful Bukhari secara paksa bila pakar perundangan seperti Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong sendiri berpendapat hubungan itu berlaku secara suka sama suka.

Dengan penurunan sokongan di kalangan orang Cina sebaik Anwar dijatuhkan hukuman (berdasarkan keputusan undian di Kajang dan Balingian), usaha harus tertumpu kepada mencungkil sokongan secara besar-besaran di kalangan orang Melayu dan India.

Jika keputusan pilihanraya umum 1999 dijadikan contoh, orang Melayu lebih cenderung menyokong pembangkang bila Anwar dimasukkan ke dalam penjara dan sebaliknya berlaku kepada orang Cina yang memberikan sokongan besar kepada BN pada ketika itu.