Monday, March 10, 2014

Nik Aziz ramal PKR menang besar

nik aziz 1PETALING JAYA:  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meramalkan calon PKR, Datik Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menang besar dalam PRK Kajang pada 23 Mac ini.
Menurut beliau, musibah yang menimpa Anwar mampu membuka ruang kemenangan besar kepada calon PKR yang bertanding dalam PRK Kajang kerana undi protes rakyat.
Sehubungan dengan itu, bekas Menteri Besar Kelantan itu menyarankan PAS Pusat menganjurkan solat  hajat seberapa segera di Kuala Lumpur selepas solat Isyak berjemaah bagi memohon pertolongan Allah terhadap ujian yang dihadapi Anwar.

“Orang Islam solat sunat hajat berjemaah memohon pertolongan dan petunjuk Allah, bukan Islam hadir untuk memberi sokongan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan keluarga Anwar agar bersabar menghadapi ujian besar membabitkan maruah keluarga dan imej Islam.
Beliau yakin dengan insiden itu, semangat benci kepada kezaliman BN bertambah hebat berbanding biasa.
Nik Aziz juga menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘anak jantan’ yang tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan.
Ketua Umum PKR itu, ujarnya, menghubunginya pada jam 1 tengahari, 8 Mac lalu bagi memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya.
“Dari nada Datuk Seri Anwar semalam langsung tidak tergugat, menggambarkan benar-benar suara ‘anak jantan’ yang tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, semalam.