Maklumat terbaru yang aku dapat dari bilik gerakan PKR untuk pilihanraya kecil Kajang menunjukkan, Datin Seri Wan Azizah Ismail besar kemungkinan akan menang hanya dengan majoriti lebih sedikit dari 1,000 undi.
Berbanding kemenangan wakil rakyat sebelumnya, Lee Chin Cheh dalam PRU13, lebih 6,000 undi.
Faktor kepada kemorosotan undi ini adalah berikutan penarikan diri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon akibat konpsirasi UMNO menggunakan Mahkamah dalam kes liwatnya telah menyebabkan sebahagian besar penyokong Pakatan Rakyat yang mahu lihat Anwar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru selepas itu, tidak keluar mengundi kerana protes.
Selain itu ada juga dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat tidak yakin Wan Azizah mampu menjalankan tugasnya dengan cemerlang di Kajang, melihat kepada prestasinya semasa menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh buat dua penggal, antara 1999-2008.
Pencalonan calon BN dari MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun juga dilihat telah mengalihkan sebahagian kecil undi masyarakat cina yang sebelum ini telah memberikan sokongan kepada PKR. Kelompok ini adalah kelompok yang akan mengundi siapa saja calon Cina, tak kira dari parti mana, asal saja cina.
Semua faktor di atas, ditambah dengan tiadanya perubahan sokongan yang ketara di kalangan orang Melayu Kajang, telah menyumbang kepada penurunan majoriti undi yang bakal diperolehi Wan Azizah.
Pakatan Rakyat tahu, hilangnya kelayakan Anwar untuk bertanding sehingga meranapkan peluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru, ditambah dengan faktor kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac, telah menyebabkan minat rakyat terhadap politik, berkurangan dengan begitu mendadak sekali.
Bila minat rakyat terhadap politik semakin kurang, maka keterujaan untuk mengambil tahu hal-hal politik turut berkurangan, seterusnya menyumbang kepada kejatuhan majoriti undi yang akan diperolehi Wan Azizah.
Apatah lagi bila UMNO mempolitikkan kehilangan MH370 dan kaitannya dengan Anwar (hubungan persaudaraan dengan juruterbang) sehingga mengelirukan sesetengah pengundi Kajang, terutama yang mudah terpengaruh dengan teori konspirasi.
Apatah lagi bila UMNO mempolitikkan kehilangan MH370 dan kaitannya dengan Anwar (hubungan persaudaraan dengan juruterbang) sehingga mengelirukan sesetengah pengundi Kajang, terutama yang mudah terpengaruh dengan teori konspirasi.
Tapi dalam keadaan sekarang, Pakatan Rakyat tidak lagi mengutamakan majoriti undi, yang penting, PKR menang di Kajang dan Wan Azizah akan dilantik menjadi Menteri Besar wanita pertama di negara ini untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dilihat cenderung ke arah BN dan gagal dalam banyak segi semasa menguruskan kerajaan negeri tersebut.