Tuesday, March 4, 2014

'Saya tidak kisah dilabel MP longkang'


  • Datin Paduka Chew Mei FunNaib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun
 1 / 1 
MUKADIMAH

SELAKU Naib Presiden MCA dan calon Dun Kajang, beliau sudah menunjukkan tekad untuk merubah keadaan di Kajang menjadi lebih baik. Di bawah kepimpinan  Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, pelbagai penstrukturan baru dibuat.

Dengan menubuhkan lapan komuniti seperti pendidikan, ekonomi dan pembangunan, MCA terus mencari resolusi terbaik bagi mengenal pasti keperluan rakyat. Wartawan Sinar Harian Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad dan Muhammad Adzhar Tajudin bersama jurufoto Afiq Razali mendapatkan kisah di sebalik diri DATIN PADUKA CHEW MEI FUN dan mengetahui apakah strategi kempen yang akan digunakan menjelang PRK Dun Kajang ini.

Datin akan ditentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemungkinan lebih ramai akan tampil bertanding bebas seperti Datuk Zaid Ibrahim, bagaimana Datin melihat PRK kali ini?


PRK kali ini tidak patut diadakan hanya kerana ingin menyelesaikan konflik dalaman PKR. Mereka menggunakan demokrasi untuk kepentingan sendiri, ini satu budaya yang sangat tidak sihat.

Sehubungan itu, kita perlu sampaikan mesej ini pada pengundi bahawa tidak kira BN atau PR, demokrasi tidak boleh dipermainkan. Undi rakyat perlu dihargai bukan untuk dipermainkan. Tidak kira anda Adun, Ahli Parlimen atau menteri besar sekalipun berkhidmat perlu ikhlas.

Adakah Datin melihat Datuk Zaid Ibrahim akan memberi cabaran buat BN?

Sesiapapun yang tampil akan memberi cabaran, bagaimana pada akhirnya rakyat lebih melihat pertempuran ini antara BN dan PR.

Setelah dua minggu Datin diumumkan sebagai calon dan bilik gerakan MCA juga telah diaktifkan, bagaimana dengan keyakinan Datin terhadap PRK kali ini?

Sambutan yang ditunjukkan  penduduk di sini memperlihatkan perkembangan baik dan menggalakkan. Saya yakin jika kita teruskan perjuangan, berserta semangat tinggi dan perancangan yang sempurna, mungkin kemenangan berpihak kepada BN.

Untuk BN menang di Kajang bukan satu perkara yang mustahil, kerana kita berdepan dengan peluang yang semakin baik.

Apakah faktor yang membolehkan Datin yakin bahawa kemenangan ini tidak mustahil?

Saya percaya rakyat pasti marah apabila ada pihak cuba memainkan proses demokrasi negara. Rakyat sudah beri peluang pilih Adun mereka, selepas lapan bulan, belum sempat rakyat merasai khidmat wakil rakyat, kerusi itu telah dikosongkan pula untuk memenuhi kehendak orang lain.

Jadi perlukah rakyat memberi peluang lagi kepada mereka? Jika PKR masih diberi peluang, landskap politik negeri ini tidak akan berubah. Mungkin lebih baik Anwar tumpu isu Parlimen atau fokus untuk mencapai cita-cita menjadi perdana menteri.

Bagaimana kerjasama daripada parti komponen?

Sangat baik. Umno, MIC, Gerakan dan komponen lain masing-masing bergerak dengan ceramah dan aktiviti mereka bagi membantu MCA. Saya sangat terharu, PRK kali ini amat berlainan semuanya telah dirancang rapi. Semua pihak memainkan peranan. Saya hanya perlu fokus pada pengundi sahaja dan tidak perlu bimbangkan hal hal lain.

Datin pernah duduk dalam kabinet dan rakyat sudah kenal, Datin juga sudah biasa dalam pentadbiran kerajaan, adakah dengan keberadaan Datin di Kajang akan memberi nilai tambah kepada penduduk di sini?

Boleh saya katakan ya, kerana bukan sahaja saya mampu memberi khidmat terbaik tetapi saya juga mempunyai hubungan baik dengan semua menteri kabinet. Ditambah pula kini saya sebagai Naib Presiden MCA lebih mudah untuk mendapatkan sokongan dan merealisasikan sesuatu perkara yang dirasakan perlu untuk rakyat.

Adakah Datin akan mudah ditemui setelah dipilih sebagai Adun Kajang dan bilik gerakan MCA akan meriah seperti dalam tempoh kempen PRK ini?

Jika menang saya akan membuka pusat khidmat saya dan melantik setiausaha serta beberapa pegawai bagi membantu menguruskan pusat khidmat ini. Saya akan pastikan sekurang-kurangnya dua sekali saya akan berada di Kajang dan seminggu sekali akan turun bersama rakyat dalam program atau mendengar masalah mereka. Rakyat boleh hubungi saya.

Saya akan buktikan saya wakil rakyat yang senang didekati. Pendekatan ini saya guna sejak berada di PJ Utara lagi. Saya adalah wakil rakyat yang rakyat boleh harapkan. Sehingga pada satu tahap saya pernah dilabel sebagai ‘MP longkang’ kerana seringkali menyelesaikan masalah longkang penduduk.

Pada dasarnya saya bukan hanya suarakan masalah ini, banyak isu lain juga saya bawakan ke peringkat atasan seperti isu keselamatan dan kebajikan. Sebagai individu yang aktif dalam parti saya pernah ditegur bekas menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Sammy Vellu dalam Parlimen bahawa saya seperti ahli Parlimen pembangkang kerana lantang menyuarakan masalah rakyat.

Tetapi saya tidak kisah dipanggil ‘MP Longkang’ atau sebagainya kerana dengan label ini pembangkang makin takut pada saya kerana mereka tahu saya mampu selesaikan masalah penduduk. Saya tetap akan teruskan khidmat saya secara ikhlas walau apa label saya kerana saya percaya pengundi akan faham bagaimana saya boleh mainkan peranan.

Apakah harapan Datin?
Semua orang yang bertanding pasti mahu menang.  Kalau tidak buat apa mahu bertanding.  Jadi bagi merealisasikan perkara itu saya perlu berusaha bersunguh-sungguh.

Dalam media sosial dan portal pro pembangkang, ada yang memanggil Datin sebagai calon yang comel, komen Datin?

Saya terima baik usaha mereka menggambarkan saya dengan beberapa watak kartun yang comel itu. Namun ada juga pihak yang cuba memanipulasikan gambar itu sehingga ada yang cuba menggunakan sebagai baham untuk menyerang saya.

Bagaimana sokongan daripada ahli keluarga setelah dipilih sebagai calon PKR Dun Kajang?

Selama saya berada dalam politik, ahli keluarga sangat memberi sokongan tidak kira dalam situasi baik ataupun sukar.

Bagaimana dengan gerak kerja BN dalam kempen PRK Dun Kajang?

BN sememangnya berusaha untuk mencapai kejayaan. Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai misalnya, beliau sering bertanya tentang perkembangan semasa yang berlaku di Kajang.

Begitu juga dengan Timbalan Presiden, Datuk Datuk Dr Wee Ka Siong di mana saya perhatikan hampir setiap hari beliau datang ke bilik gerakan induk (Taman Berjaya) semata-mata melancarkan pergerakan jentera parti di sini.

Selain itu, kami juga mendapat bantuan daripada MCA negeri iaitu dari Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Ada juga pemimpin Umno kerap datang ke Kajang bagi melihat persiapan MCA dan juga menghadiri ceramah yang dianjurkan pihak kami.

Secara keseluruhan, pimpinan dan akar umbi BN sentiasa bekerjasama dan membantu dalam berkempen.

Datin lebih memberi fokus kepada berkempen dari rumah ke rumah atau fokus utama atau ceramah kelompok?

MCA belum lagi menggunakan pendekatan dari rumah ke rumah untuk berkempen memandangkan perkara tersebut memerlukan masa. Namun, itu bukan bermakna pendekatan terbabit tidak akan digunakan sebaliknya kami sedang merancang dengan lebih terperinci supaya kesan atau sambutan yang diterima adalah baik.

Setakat ini, kami telah pun mengadakan majlis dan ceramah bersama pengundi di Kajang dalam kadar yang kerap bagi mengetahui permasalahan dan kepentingan yang dimahukan oleh mereka. Cara tersebut bagi saya adalah antara pendekatan terbaik dan utama yang digunapakai oleh kami dalam mendekati mereka dengan lebih rapat (personal touch).

Apakah penanda aras kepada keupayaan MCA yang baru dan adakah Datin rasa tanggungjawab selaku calon yang digalas ini berat?

Dengan lahirnya pimpinan baru MCA ini kami dapati terdapat perubahan besar khususnya dari segi corak, sambutan dan sokongan orang ramai. Berbekal pemimpin berpengalaman dan penuh berkaliber khasnya Presiden dan Timbalan Presiden, saya berasa MCA mampu bergerak sebagai satu parti yang mewakili kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan warna kulit.

Pandangan dan cadangan akar umbi juga akan kami perhalusi selaras dengan transformasi yang dimahukan oleh presiden parti. Tanggungjawab yang dipikul sememangnya berat kerana tumpuan seluruh negara kini terarah kepada situasi yang bakal berlaku di Kajang selain calon yang ditentang juga bukan calang-calang individu.

Namun bagi saya itu bukan satu alasan yang menyebabkan saya akan mengalah dengan mudah. Prinsip hidup saya adalah berjuang dengan sehabis baik dan mesti yakin dengan kebolehan yang kita ada.

Oleh yang demikian, kami amat berharap para pengundi di Kajang berikan peluang kepada MCA untuk menabur bakti sekaligus   kepada mereka dengan sehabis baik seperti mana slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Berdasarkan kajian yang dilakukan BN di Kajang, apa sebenarnya yang pengundi di sana mahukan?
Para pengundi di sini mahu seorang Adun yang benar-benar boleh didekati dan dapat memberi perkhidmatan yang sebaiknya. Saya dapati rakyat di sini memang banyak masalah setempat berlaku.

Contohnya, jalan raya yang sempit, keselamatan dan juga di sini masih ramai warga istimewa yang mahukan bantuan. Setelah hampir sebulan melakukan kajian di Kajang, kami dapati para pengundi mahukan seorang Adun atau wakil rakyat yang bersih, berwibawa dan paling penting mudah untuk didekati oleh semua golongan.

Selain itu, masalah setempat seperti isu pendidikan, kemudahan awam, keselamatan dan pendatang asing juga merupakan antara rungutan yang paling banyak diadukan pada pihak kami. Oleh yang demikian, untuk PRK pada kali ini kami akan menggunakan isu rakyat sebagai antara bahan utama dalam kempen nanti.  

Pada ketika ini hampir sebahagian rakyat di Selangor menderita disebabkan ketiadaan bekalan air, adakah BN melihat isu tersebut sebagai faktor penting dalam kempen nanti?

Bukan sahaja melibatkan isu air, isu air telah membuktikan kalau kita semua selalu mempolitikkan isu-isu yang terlibat dengan kebajikan orang ramai, itu adalah satu kelakuan yang tidak betul sebagai satu parti atau seseorang ahli politik.

Oleh itu, sebaiknya kita tumpukan apakah cara untuk kita selesaikan isu atau masalah yang sedang dihadapi rakyat. Isu air merupakan antara masalah terkini yang melanda rakyat di Selangor.

Perkara tersebut kita harus akui namun saya tidak suka untuk menangguk di air yang keruh dan mempolitikkan isu tersebut ke arah negatif.  Tindakan tersebut juga merupakan etika yang salah untuk digunakan oleh mana-mana ahli politik. Sebaiknya, kita perlu beri penumpuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Ada atau tidak jentera dihantar bagi membantu rakyat yang ketiadaan air di beberapa bahagian di Selangor?

Setakat ini tiada digerakkan mana-mana jentera untuk membantu dalam menangani krisis yang meruncing ini. Namun, sekiranya diarahkan berbuat demikian, kami akan membantu pihak yang terlibat dalam meringankan beban yang ditanggung mereka.

Adakah BN akan gunakan isu dalaman parti lawan sebagai salah satu kempen dalam mencapai kemenangan?

Saya tidak berminat dengan isu dalaman PKR terutamanya membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali untuk digunapakai sebagai bahan kempen.

Saya hanya fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat di Kajang selain cuba untuk memahami, mendengar selain mendekati mereka secara lebih dekat. Perkara itu lebih penting untuk rakyat berbanding krisis dalaman PKR.

Tidakkah Datin berasakan perkara itu mampu memberikan kelebihan pada BN?

Jika dilihat secara menyeluruh, berkemungkinan perkara tersebut memberikan sedikit sebanyak kelebihan kepada kami dalam menyaingi mereka. Namun, saya tegaskan, fokus kami adalah untuk menyelesaikan masalah yang melingkari pengundi di Kajang.

Selaku calon wanita, mungkin Datin ada rasa satu ‘human touch’ yang boleh menarik undi pengundi di Kajang?

Kami menghadapi satu situasi yang mana wakil wanita adalah kurang bukan sahaja di Parlimen malah Dun. Untuk kita menambahkan lagi wakil wanita ini, saya rasa ini adalah satu isu yang diterima baik dan juga semua wanita akan beri sokongan.

Apakah pendekatan yang akan Datin gunakan melalui kelebihan yang ada?

Saya telah pun jelaskan semuanya kepada pengundi ketika berjumpa dengan mereka baru-baru ini. Walaupun saya bukan Ahli Parlimen atau Adun Kajang tetapi saya telah mewujudkan satu program sejak 2008 yang mana saya memberi bantuan atau jagaan harian kepada anak-anak daripada keluarga ibu tunggal atau bapa tunggal.

Dan program ini telah pun dijalankan di Sekolah Jenis Kebangsaan Sungai Chua di mana anak-anak yang belajar di sekolah berkenaan dan ibu bapa yang tak mampu untuk hantar anak mereka ke pusat jagaan.

Di situ kami juga sediakan makanan pagi, tengah hari dan petang secara percuma selain kami juga telah sediakan dua pembantu (sesi pagi dan petang) supaya dapat beri perlindungan kepada mereka.

Berikan tuisyen percuma kepada mereka, uniform sekolah yang percuma turut diberikan dan bawa mereka bercuti sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Maka dengan itu, kita telah pun beri kekuatan atau dapat kita bantu ibu dan bapa tunggal supaya mereka dapat bekerja dengan senang hati dan tidak bimbang ke atas keselamatan dan pendidikan anak mereka.