Monday, April 21, 2014

Krisis Air Selangor: Rakyat Perlu Bersyukur, Orang Somalia Lebih Susah


Hari ini khabarnya akan diadakan satu demonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Selangor bagi membantah krisis air yang berlanjutan di negeri tersebut sejak beberapa bulan lalu akibat musim panas berpanjangan dan pencemaran di beberapa loji utama yang diselia oleh Syabas.

Demonstrasi itu adalah lanjutan kepada bantahan rakyat Selangor berhubung bekalan air di negeri tersebut yang masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketara, walaupun hujan semakin hari semakin lebat, terutama di waktu petang.

Masih tidak dapat dipastikan dalang sebenar di sebalik penganjuran demonstrasi ini, tapi kita percaya dalang itu adalah UMNO dan sekutu-sekutu mereka dalam Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat melihat tindakan ini sebagai satu tindakan kurang matang dan terdesak oleh UMNO/BN dalam menghasut rakyat Selangor untuk menentang kerajaan negeri mereka sendiri yang dipilih secara demokrasi dalam PRU13 yang lepas.  

Hakikatnya, rakyat Selangor masih beruntung, berbanding rakyat di beberapa negara lain di dunia yang lebih susah menerima bekalan air.  Sekurang-kurangnya, setiap 3 hari rakyat Selangor masih menerima air, berbanding rakyat di negara seperti Somalia yang tidak mendapat bekalan air langsung buat jangka masa yang panjang.

Kalau menerima bekalan air sekalipun, kualiti air tersebut, belum tentu lagi menyamai mutu air yang diterima oleh rakyat Selangor.  Disesetengah tempat, penduduk Somalia terpaksa berkongsi air yang diminum oleh lembu!!


Maklumat ini aku dapat dari seorang pelajar Somalia yang menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor.

Tambah pelajar itu lagi, 'krisis' air yang dihadapi rakyat Selangor sekarang, bukanlah krisis yang sebenarnya berbanding apa yang dihadapi oleh rakyat Somalia di negara mereka sendiri sekarang.  Di Somalia, jangan kata 2 hari tidak ada air, ada yang tidak mendapat bekalan air bersih langsung seumur hidup mereka!!

Bekalan air (kalau ada) sekalipun diperolehi dari sumber air bawah tanah, bukan kolam takungan air di atas bukit atau dari sungai.

Kisah ini sepatutnya menginsafkan rakyat Selangor untuk lebih bersyukur dengan apa yang mereka terima sekarang.  Tidak perlulah nak berdemonstrasi kerana catuan air ini, ingatlah ada yang lebih susah di luar sana.