Friday, April 18, 2014

Unisel nafi pelajar terlibat demonstrasi

  • Unisel nafi pelajar terlibat demonstrasiSekumpulan mahasiswa yang mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk bangunan SAAS, semalam.
 1 / 1 
SHAH ALAM - Universiti Selangor (Unisel) menafikan pelajarnya terlibat dalam demonstrasi dan menggelarkan diri mereka Bebas 2.0 serta menghantar memorandum kepada kerajaan negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS), semalam.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, beliau sendiri datang bangunan tersebut dan mendapati tiada seorang pun pelajar Unisel terlibat.

“Saya sendiri datang ke bangunan itu bersama Ketua Bahagian Kewangan, Ahmad Zabri Mohd Yaman kira-kira jam 3 petang dan bertanya kepada sekumpulan pelajar yang terlibat itu, mana budak Unisel, bagaimanapun, tak ada seorang pun yang mengaku.

“Mereka kata mereka menuntut di sebuah IPTA. Tapi saya tak bolehlah beritahu IPTA mana yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Naib Canselor Unisel, semalam.

Dalam pada itu, Anuar turut mempersoalkan mengapa logo Unisel yang dibawa kumpulan pelajar itu walaupun tiada seorang pun pelajarnya terlibat.

“Saya yakin pelajar kami tak terlibat  dan nama Unisel digunakan mungkin untuk menjatuhkan kami.  Sekarang mereka sibuk buat persediaan untuk menghadapi peperiksaan kurang dua minggu lagi ,” katanya.

Sebelum itu, sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Bebas 2.0 berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan SAAS semalam untuk menghantar memo kepada kerajaan negeri berkenaan tuntutan kebebasan akademik dan pendidikan percuma.

Kumpulan itu bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan bangunan apabila dihalang pengawal keselamatan yang kemudian bertindak menutup semua pintu masuk.

Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Abdul Muqit Muhammad, 23, yang mengetuai kumpulan itu berkata, sebelum ini memorandum yang sama telah dihantar ke parlimen dan mereka disambut baik serta tidak menerima sebarang halangan.

“Hari ini (semalam) kami berada di sini untuk menyampaikan memorandum ini ke tangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, tapi kami dihalang.

“Kami tidak diberikan sebarang sebab mengapa kami dihalang masuk. Kami kecewa dengan tindakan kerajaan PR yang sebelum ini begitu lantang menyuarakan isu kebebasan akademik dan pendidikan percuma,” katanya.

Tambahnya, tujuan memo itu dibuat bagi mendesak Kerajaan Negeri Selangor menjadi perintis kepada pelaksanaan kebebasan akademik dan juga pendidikan percuma itu dengan menjadikan Unisel sebagai model.