Thursday, June 19, 2014

Adun minta LLM kemuka bukti

CADANGAN pembinaan Lebuhraya Kinrara- Damansara (Kidex) tidak akan dimasukkan lagi ke dalam kandungan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) sehingga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membuktikan manfaat pelaksanaan jaringan berkenaan.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menolak cadangan pembinaan Kidex dalam pindaan RTPJ sehingga LLM menunjukkan bukti kukuh bukan sekadar kepada kerajaan negeri tetapi termasuk penduduk Petaling Jaya keseluruhannya.

“Kita mahu tahu manfaat jangka panjang hasil daripada pelaksanaan Kidex ini bukan hanya rundingan antara kerajaan negeri dan LLM serta konsesi Kidex saja. Rakyat di Petaling Jaya harus dimaklumkan.

“LLM perlu jelaskan perjanjian konsesi dulu cakap 40 tahun saja sekarang dah jadi 48 tahun. Kadar tol untuk lebuh raya sepanjang 14.9 kilometer itu juga belum didedahkan kepada orang awam,” katanya ketika sidang media di Bangunan Annexe, semalam.

Beliau turut menyarankan semua perkara yang melibatkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, Sosial dan Trafik dimaklumkan kepada pihak berwajib termasuklah kepada MBPJ dan penduduk setempat terlebih dahulu dan kerajaan negeri tidak wajar membenarkan Kidex dimasukkan dalam RTPJ terlebih dahulu.

Sementara itu, Adun Taman Medan Haniza Mohamed Talha pula menzahirkan rasa sangsi dengan cadangan pembinaan lebuh raya bertingkat itu kerana ia tidak mampu menyelesaikan kesesakan yang dialami terutamanya di taman perumahan akibat pengguna mengelak daripada melalui laluan bertol.

“Kewujudan Kidex tidak berupaya mengetepikan permasalahan sebenar untuk mengatasi kesesakan pada 10 dan 20 tahun akan datang.

“Bukan guna cara konvensional, sesak saja bina lebuh raya, yang kita perlukan ialah penyelesaian melalui pengangkutan alternatif. Kami tak yakin Kidex boleh selesaikan kesesakan,” katanya.

Pada 12 Jun lalu LLM meminta tempoh seminggu daripada kerajaan negeri untuk menyediakan kertas kerja lengkap dan terperinci berkaitan kemajuan jaringan lebuh raya di Selangor sebelum berbincang tentang cadangan pembinaan Kidex.