Thursday, June 19, 2014

DUN Selangor catat sejarah lulus usul pembangkang

hannah yeoh
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri  (DUN) Selangor yang bersidang selama tiga hari telah berjaya mencatat sejarah untuk julung kalinya apabila meluluskan usul daripada pihak pembangkang Barisan Nasional.

ADUN Jeram  (Barisan Nasional), Datuk Amiruddin Setro  yang telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat dan menghentikan serta-merta sebarang projek pembangunan yang dilaksanakan tanpa kebenaran merancang.

Amirudin berkata, pembangunan yang tidak terancang dan terkawal akan membawa kepada masalah banjir kilat, hakisan dan tanah runtuh yang akan membahayakan keselamatan rakyat.
Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh,  ketika ditemui FMT berkata, ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik kerana berjaya menunjukkan kematangan ahli-ahli dewan dan membahaskan sesuatu isu.
Katanya lagi, beliau telah membuat satu keputusan yang betul dan adil dengan membenarkan usul tersebut dibahaskan.
“Ini yang saya mahukan dalam politik Selangor, dan bukan hanya membawakan usul kaum dan sensitiviti agama.
Beliau turut memuji semua Adun kerana berjaya menganalisa isu-isu yang berlaku di kawasan mereka.