Sunday, June 22, 2014

Agenda mudakan Dapsy

IPOH - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Belia Sosialis DAP (Dapsy) Perak yang dijadualkan berlangsung dua minggu lagi bakal membawa agenda memudakan Dapsy.

Setiausahanya, Howard Lee Chuan How berkata, ia selaras dengan pindaan perlembagaan mesyuarat baru-baru ini yang mahu menurunkan had umur ahli Dapsy kepada 35 tahun berbanding 40 tahun sebelum ini.

“Selepas PRU13 lalu, ramai golongan muda yang menyertai kita (DAP) atau keseluruhannya menyertai perjuangan PR. Justeru AGM ini akan bawa agenda mahu pastikan semua ahli Dapsy melibatkan golongan muda.

“Seterusnya kita harap agenda ini akan bantu buka lembaran baharu dalam arena politik selain meneruskan siri debat dan penggubalan dasar baharu DAP secara pada masa hadapan. Dapsy berperanan besar dalam hal ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, Howard berkata, berdasarkan peningkatan sokongan terhadap DAP ketika ini, sebanyak 32 cawangan DAP baharu di seluruh negeri ditubuhkan.

Bagaimanapun katanya, semua cawangan berkenaan belum dapat beroperasi kerana menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).