Sunday, June 22, 2014

Pembangkang boleh tentukan dasar kerajaan



Memasuki gelanggang persaingan idea, pembangkang memainkan peranan utama dalam menentukan agenda untuk “dicuri” kerajaan. Tetapi kita tidak seharusnya berhenti di situ. Kita perlu meneruskan desakan, dengan idea baru yang lebih baik, dipandu dengan kerangka falsafah yang kita dukung.

Sejak Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein (kini Naib Presiden Umno) menghunus kerisnya pada Julai 2005, pembangkang telah dimanfaatkan dengan “bulan madu” yang agak panjang dari pengundi bukan-Melayu. Penurunan mendadak sokongan Cina dalam PRK Teluk Intan barangkali sebagai petanda bahawa keghairahan “anti- Umno” selama sembilan tahun ini telah menyurut.

Mungkin setakat itulah yang boleh dibawa sentimen “Kami bukan Umno”. Apabila keghairahan ABU (Asal Bukan Umno) menyurut, maka pembangkang perlu mencapai kemenangan dengan menawarkan idea yang lebih baik di peringkat nasional, dan mentadbir dengan idea yang lebih baik di peringkat negeri.

Ramai di kalangan pembangkang berpegang kepada idea bahawa tidak usah kita mengajar Barisan Nasional untuk menjadi “celik” dengan menawarkan dasar kita untuk ditirunya. Dengan kata lain, kita tidak perlu bekerja keras untuk mencanangkan idea. Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian. Mengapa?

Pembangkang di Malaysia tidak berpeluang untuk terlibat dalam penggubalan dasar – tapi ini bukan bermakna bahawa wakil BN memiliki peluang tersebut.

Jika dahulunya pegawai kakitangan awam kanan yang memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar, kini tugas “pemikir” telah di-”outsource” kepada badan swasta. Vendor, kontraktor dan perentir memaklumkan kerajaan apa yang harus dilakukan. “Alat mainan” pertahanan dibeli oleh kerajaan dengan mengengkari nasihat daripada angkatan tentera. Bandar dibina atas nasihat pemaju. Lebuhraya dibina untuk memenuhi keperluan pemegang konsesi. Rangkaian LRT dan terowong saluran air dibina kerana tokoh kroni telah membeli sebuah jentera membina terowong pintar – yang bertujuan untuk meredakan situasi kebanjiran tetapi tidak begitu pintar ketika berfungsi.

Maka tugas pertama pembangkang Malaysia adalah untuk menuntut kembali ruang awam daripada badan swasta berkepentingan dan BN. Kita perlu mencurahkan kesungguhan yang setara untuk membincangkan soal pendemokrasian dan keadilan ekonomi, sebagaimana kesungguhan kita berperang dengan Umno dan kumpulan yang sewaktu dengannya seperti Isma dan Perkasa dalam dasar identiti (kaum, agama dan raja).

Banyak persamaan dikongsi oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam bidang pendemokrasian dan keadilan ekonomi. Barangkali dalam bidang ini juga BN boleh “mencuri” dasar kita, tetapi sekadar bentuk luaran tanpa menghayati jiwa dan roh di dalamnya.

Contohnya BR1M. Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat telah mengadakan mesyuarat mingguan antara Julai dengan September 2011 untuk merangka belanjawan alternatif. Ini antara usaha kita, setelah berjaya merangka satu dasar bersama pada Disember 2009.

Pada Julai 2011, Pakatan mengumumkan untuk memberi tumpuan terhadap peningkatan mutu kehidupan 60% warga Malaysia terbawah dari segi pendapatan. Pakatan menekankan betapa pentingnya untuk menghapuskan monopoli, rasuah dan kegiatan merentir (rent-seeking) – agar ‘pendapatan boleh guna’ bagi golongan 60% terbawah ini boleh ditingkatkan.

Kita menganjurkan bahawa kerajaan perlu menawarkan kesihatan awam, pengangkutan awam dan perumahan awam yang lebih baik. Kita juga menekankan dasar gaji minima, mengurangkan kebanjiran pendatang asing yang tidak berkemahiran, disusuli dengan usaha membantu usahawan kecil dan sederhana untuk menaiktaraf industri mereka dengan teknologi dan daya pengeluaran yang lebih tinggi – lantas menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran yang pendapatannya lebih tinggi secara perbandingan.

Sejurus selepas pengumuman Pakatan itu, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan BN akan bersaing dengan Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kehidupan golongan 60% terbawah. Keesokannya, seorang kawan daripada kerajaan memberitahu saya bahawa pasukannya diminta untuk berusaha ke arah itu tanpa mengubah kerangka ekonomi yang memanfaatkan kroni. Hasil produknya bernama BR1M.

Kita boleh mendakwa bahawa berkat usaha Pakatan, kerajaan terpaksa memberi tumpuan terhadap golongan 60% terbawah, tetapi kita perlu terus menerokai dasar yang pelbagai untuk memperbaiki kehidupan 60% dari bawah – bukannya dasar bersifat sementara semata-mata yang boleh diibaratkan seperti menghulurkan candu apabila wang tunai dihulurkan sekaligus.

Begitu juga dengan royalti 20%. Pakatan yang menjuarai isu itu dan akhirnya ia menjadi sesuatu yang diperkatakan semua orang. Mungkin pada satu hari nanti, seseorang daripada kerajaan yang mahu dirinya kekal relevan dan popular akan terdorong untuk bertindak, atau sekurang-kurangnya berjanji untuk bertindak, bagi menangani isu ini.

Jadi, pembangkang tidak seharusnya berhenti sekadar menjana isu. Kita perlu mendalami asas ekonomi yang sebenar kerana adalah penting untuk kita menentukan agenda. Seandainya kita gagal menentukan agenda, maka Umno dengan badan-badan NGO sekutunya yang berkepala keras serta propagandis Biro Tata Negara tajaan kerajaan akan terus menjadikan perkauman, agama, dan raja sebagai isu yang mencuri perhatian, tatkala kroni terus merompak khazanah negara tanpa dipantau sesiapa.

Akhirnya kita mahu menggegar kroni-kapitalisme Umno-BN untuk menunjukkan kepada semua warga Malaysia bahawa satu paradigma pembangunan yang berbeza adalah mungkin. Kita boleh meruntuhkannya sistem kroni ini seandainya kita menggali dengan cukup dalam. Alternatif yang kita dukung bakal membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih dinamik ekonominya dan menghasilkan pembangunan yang lestari.