Tuesday, June 17, 2014

MB Perlu Jelaskan Benarkah S'gor Minta Duit Persekutuan?


Pakatan Rakyat melihat dakwaan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar di Parlimen semalam, kononnya kerajaan Selangor ada meminta bantuan kewangan dari kerajaan persekutuan, sebagai berat dan memerlukan penjelasan segera.

Selama ini yang kita tahu, selain Kelantan, negeri-negeri yang Pakatan Rakyat perintah seperti Penang dan Selangor, tidak memerlukan wang kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek pembangunan negeri, membayar gaji dan sebagainya kerana kita mempunyai kemampuan kewangan yang baik.

Dalam satu kenyataan pada Februari 2013 (beberapa bulan sebelum PRU13), Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telah mengesahkan bahawa Selangor tidak akan meminta sebarang bantuan dari kerajaan pusat.

Oleh yang demikian, bagaimana tuduhan ini boleh datang sekarang?

Justeru, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diminta berbuat salah satu dari ini - saman Noh Omar kerana membuat kenyataan bohong atau Khalid memberikan penjelasan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat bagaimana perkara ini boleh berlaku dan berapa banyak wang yang telah dipinjam?

Khalid juga perlu menjelaskan kenapa bantuan kewangan ini diminta tanpa Majlis Presiden Pakatan Rakyat dimaklumkan terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Ini penting bagi menjaga intergriti dan kredebiliti Pakatan Rakyat sebagai komponen politik yang mempunyai urus tadbir negeri yang lebih baik berbanding BN.  Kalau sampai terpaksa meminta bantuan persekutuan (walaupun dibenarkan undang-undang), itu bukan urus tadbir yang baik.

Lagipun kenapa perlu minta bantuan persekutuan bila itu hanya menambah liabiliti kepada kerajaan negeri Selangor untuk menjelaskan semula hutang tersebut.  Mengikut dari apa yang Pakatan Rakyat difahamkan, kerajaan persekutuan mengenakan faedah antara 2-4% bagi setiap bantuan kewangan yang diluluskan.

Jumlah ini walaupun nampak kecil, tapi akan menjejaskan rakyat dari segi kenaikan cukai untuk membayar semula pinjaman.  Kenapa rakyat perlu dibebankan bila kerajaan negeri mempunyai punca kewangan yang mantap untuk beroperasi?

Khalid perlu memberi penjelasan dalam kadar yang segera atau berkemungkinan berhadapan dengan tindakan tegas.  Kedudukan kewangan yang sebenarnya untuk negeri Selangor perlu dimaklumkan kepada Pakatan Rakyat dengan segera.

Sudah tentu ada masalah kalau sampai terpaksa meminta bantuan pusat.  Jangan sampai nak bayar gaji kakitangan awam negeri pun nanti tak cukup duit.