Tuesday, June 24, 2014

Muhyiddin dikhabarkan ke Jakarta, buat apa?


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan bahawa desas-desus peletakan jawatan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah rekaan politik pihak-pihak tertentu.

Justeru, para pengundi serta ahli-ahli Umno Pagoh lega menerima perkhabaran itu.

Bagi penulis Shahbudin Husin, sebagaimana yang selalu terjadi, penafian tidak lagi bermaksud sesuatu itu tidak akan berlaku, malah lebih merupakan petunjuk bahawa khabar angin semakin hampir menjadi kenyataan.

"Ini berikutan tidak berapa lama selepas Najib menafikan ada sebarang pertukaran orang nombor duanya, dikhabarkan pula bahawa Muhyiddin telah pun berlepas ke Jakarta dengan diikuti oleh beberapa orang pengikut serta rakan karibnya dalam dunia politik," tulis beliau di dalam blognya.

Menurutnya, sumber yang dekat dengan Muhyiddin memberitahu, pemergian itu ada kaitan untuk membincangkan perkembangan politik terbaru mengenai dirinya serta hubungannya dengan Perdana Menteri yang menjadi bualan ramai ketika ini.

"Difahamkan, hasil daripada perbincangan di Jakarta itu nanti, tidak mustahil Muhyiddin akan membuat sesuatu keputusan yang mengejutkan. Namun tidak mustahil juga beliau dinasihati terus kekal dan bersabar sehingga pilihan raya umum akan datang," ulasnya lagi.