Monday, June 30, 2014

PAS Patut Jauh Diri Dari Istilah Jihad & Peperangan


Sesiapa pun yang membaca perutusan sempena bulan Ramadhan PAS, pasti tertanya-tanya apakah mesej yang nak disampaikan bila istilah Jihad & Peperangan digunakan?

Harakah baru-baru ini menyiarkan sebuah artikel perutusan Ramadhan bertajuk 'Ramadhan Bulan Jihad, Merakyatkan Perjuangan" yang ditulis oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Walaupun artikel itu tidak menyatakan secara jelas sokongan PAS terhadap perjuangan militan, tapi penggunaan dua perkataan itu secara tidak langsung memberi maksud PAS menyokong perjuangan  militan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Apatah lagi PAS baru-baru ini giat dikaitkan dengan pergerakan militan yang merekrut anak-anak muda dari Malaysia untuk menjadi pengebom berani mati di Iraq dan Syria berikutan penglibatan seorang pemimpin peringkat negeri parti itu dalam kumpulan militan ISIL.

Walaupun pemimpin berkenaan sudah dipecat bulan Mei yang lepas, tapi PAS tidak boleh ada kaitan sama sekali, apatah lagi dikaitkan dengan istilah Jihad & Peperangan kerana bimbang rakyat akan salah faham dan menganggap PAS menyokong perjuangan ISIL.

Pakatan Rakyat telah menetapkan pendirian bahawa kita hanya menyokong pergerakan Syiah di Iran dan sama sekali tidak menyokong pergerakan militan yang dipelopori oleh ISIL.

Syiah Iran setakat ini tidak lagi campur tangan dengan konflik di Iraq dan Syria dan seharusnya Pakatan Rakyat mengekalkan sokongan terhadap Syiah Iran di atas pendirian tidak berpihak ini.

Justeru Harakah seharusnya menarik balik artikel berkenaan dengan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu kerana dengan sengaja mendedahkan PAS kepada kritikan dan kaitan dengan puak militan.