Tuesday, June 3, 2014

Yammy mahu saman pemfitnah

  • Yammy Samat
 1 / 1 
IPOH – Ibu calon DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan, Yammy Samat, 59, bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahkannya.

Beliau menyuarakan demikian berikutan tersebarnya pelbagai maklumat di laman sosial berhubung kontrak, aset dan kekayaannya yang didakwa dimilikinya.

Yammy menyifatkan tuduhan itu amat berat dan mahu pihak yang menyebarnya mengemukakan bukti.

Katanya, dakwaan itu disifatkannya berniat jahat dan satu fitnah yang bertujuan menjatuhkan serta menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap dirinya.

“Kenyataan di laman sosial itu tidak benar. Jika benar, saya cabar kemukakan bukti dan kalau profesional, buatlah aduan mengikut saluran betul, bukannya main tuduh-tuduh.

“Saya cabar kemukakan fakta seperti didakwa, bukan hanya membuat tuduhan di laman sosial,” katanya.

Terdahulu, laman Facebook Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkongsi maklumat, mendakwa Yammy memiliki pelbagai aset dan memperoleh pinjaman kewangan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Dalam muat naik status terbaharunya, ia mendakwa, kesemua tuduhan itu diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan berkongsi  semua maklumat tersebut.

Maklumat mengenai Yammy yang dikongsi itu antaranya menyebut, Yammy menerima enam permit teksi di Ipoh, memiliki kawasan balak seluas 600 hektar di Kroh, ada rumah kedai di Pusing dan menerima rumah berkembar di Gopeng, di samping memperoleh pinjaman Mara berjumlah RM750,000.

Selain itu, ibu Dyana Sofya Mohd Daud itu juga didakwa mendapat permit mengimport (AP) beras Siam dan pajakan 40 hektar tanah lombong besi di Kinta.

Kos pelajaran tiga anak Yammy juga dikatakan ditanggung Yayasan Menteri Besar Perak sejak mereka berusia tujuh tahun hingga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Yammy berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan semua tuduhan itu.

“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas petang semalam (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata, dakwaan yang dikongsi Nawawi bahawa beliau memegang jawatan setiausaha wanita Umno bahagian tidak benar kerana beliau hanya ahli biasa.