Friday, July 4, 2014

Perlantikan Nazir: Bukti Kronisme Dalam UMNO


Bila Khazanah Nasional mengumumkan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Seri Nazir Razak sebagai ahli lembaga pengarah sayap pelaburan kerajaan itu, yang mula-mula sekali terbit di kepala aku ialah perkataan ini - kronisme..

Tidak ada alasan lain mengapa Nazir diberi jawatan itu melainkan abangnya, Najib ialah Perdana Menteri Malaysia.  Kalau orang-orang biasa macam kita ni, boleh mimpi sajalah nak dapat jawatan itu.

Aku tidak ada masalah dari kelayakan dan pengalaman Nazir kerana dia naik dalam CIMB pun lama sebelum Najib menjadi Perdana Menteri.  Malah, semua orang tahu karier Nazir sudah bermula di CIMB seawal tahun 1989 pun.

Najib pada waktu itu (1989) hanyalah seorang Menteri biasa dan jawatan dalam politik hanyalah Ketua Pemuda UMNO.  Dengan kedudukan itu, tidak ada siapa yang sangka pada satu hari dia akan menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berkuasa melantik adiknya pada satu jawatan yag tinggi.

Kita juga faham bahawa kerusi lembaga Pengarah Khazanah ini pun diberikan kepada Nazir atas kapasitinya sebagai Pengerusi CIMB berkuatkuasa 1 September nanti.  Sudah menjadi tradisi di Khazanah, setiap Pengerusi kepada anak syarikat dibawah kendaliannya akan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah sayap pelaburan kerajaan tersebut.

Tapi, takkanlah tidak ada orang lain selain adik Najib ini juga yang nak dipilih?  Aku yakin sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang, CIMB telah melahirkan ramai tokoh-tokoh perbankan berwibawa selain dari adik Najib yang nombor dua ini.

Difahamkan Pakatan Rakyat akan membantah perlantikan Nazir kerana dasar Pakatan Rakyat jelas - kita menolak amalan kronisme dan nepotisme dalam semua urusan jika kita dipilih menjadi kerajaan.

Sudah tentu, pengecualian diberikan kepada beberapa pemimpin tertentu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh kerana Pakatan Rakyat berpandangan, setakat 3 orang diberi kebenaran  mengamalkan nepotisme dan kronisme, tidak akan menjadi hal yang besar sangat.

Pakatan Rakyat bagaimanapun mengalu-ngalukan perlantikkan Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menggantikan Nazir sebagai CEO di CIMB.

Zafrul wajar disokong kerana dia menjadi satu-satunya manusia di Malaysia yang berani mempersoalkan keputusan Najib melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Felda pada tahun 2011. Akibat kenyataannya itu, Zafrul diberhentikan dari Maybank, tapi diberi peluang kedua di CIMB.