Friday, August 22, 2014

MH17: PAS ucap terima kasih kepada k'jaan, MAS


SEPANG: PAS mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk sama-sama melakukan solat ghaib buat mangsa MH17 yang baru tiba di sini hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar juga mengingatkan semua khususnya ahli PAS turut mengadakan majlis tahlil buat mereka yang terkorban dalam tragedi pada 17 Julai lalu itu.

Mahfuz yang ditemui di pekarangan Kompleks Bunga Raya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menguruskan penghantaran mangsa kepada keluarga masing-masing.

"Terima kasih juga kepada semua pihak iaitu MAS, polis, tentera, khususnya yang berada di Ukraine dan terlibat dalam penyiasatan serta pasukan yang menguruskan jenazah,"katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, ahli keluarga mangsa perlu meneruskan kehidupan mereka seperti biasa walaupun telah kehilangan orang yang tersayang dalam nahas itu.

"Bagi pihak PAS dan Ahli Parlimen PAS, kami mengucapkan takziah kepada kaum keluarga mangsa dan apa yang penting mereka harus meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun kehilangan orang yang tersayang,"katanya.

Dalam pada itu, PAS mengucapkan takziah kepada MAS khususnya warga kabin yang sudah tentu sedih dengan kahilangan kawan-kawan baik mereka.

"Saya tahu mereka baik bahkan macam satu keluarga, kesedihan itu jelas terpancar di wajah merek tadi. Tapi kesedihan ini tidak seharusnya menyulitkan mereka untuk terus berkhidmat dengan MAS," katanya.

Turut bersama beliau dalam menyambut jenazah mangsa MH17 hari ini Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi.

20 jenazah mangsa MH17 tiba di Kompleks Bunga Raya dan disambut dengan penuh istiadat dan protokol di mana masing-masing mengenakan pakaian gelap sebagai tanda perkabungan hari ini.

Jenazah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan di tempat masing-masing, manakala tujuh jenazah  diterbangkan dari KLIA  ke Kuching, Kedah,Taiping, dan Segamat Johor. 

No comments: