Saturday, August 23, 2014

Misteri di sebalik 'projek sakit' berpagar zink



MARAN: ‘Projek sakit’ Akademi Usahawan Tani Kampung Awah, dekat sini, yang pernah ditegur oleh PAS Pahang dua tahun lalu, semalam sekali lagi didedahkan misterinya yang berpagar dengan zink setinggi 20 kaki. 

Misteri tersebut ialah rupa-rupanya bangunan dalaman yang mendapat kritikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, sedang dirobohkan dan akan dibina bangunan baru. 

Pusat latihan yang sepatutnya digunakan untuk kursus-kursus keusahawan tani itu mulai dibina pada tahun 2005 dengan menelan kos sekitar RM9 juta, tetapi banyak bahagian di dalamnya tidak boleh digunakan kerana tidak mengikut spesifikasi. 

Berdasarkan laporan audit, terdapat beberapa kelemahan dalam perancangan dan pelaksanan projek melibatkan konkrit bangunan asrama dan blok pentadbirannya. 

Dalam program Cakna Rakyat PAS Pahang, media diberitahu kerajaan dipercayai telah mengeluarkan tender baru untuk meruntuh bangunan sedia ada dan membina yang baru, berdasarkan pemasangan zink di sekeliling kawasan tersebut. 

“Sepatutnya kontraktor terdahululah yang perlu dipertanggungjawabkan, kenapa perlu tender projek lain. Justeru PAS Pahang merasakan berlaku penyelewengan, kedua pembaziran wang rakyat dan yang ketiga menyusahkan bakal usahawan tani yang sepatutnya mendapat manfaat. 

“Dalam suasana muram hari ini dengan rakyat disuruh berjimat, di pihak kerajaan pula berlaku pembaziran dengan jutaan ringgit lagi wang rakyat digunakan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus. 

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad, Bendahari Musaniff Abdul Rahman, Yang Dipertua PAS Maran Hasenan Harun dan Adun Kuala Semantan Syed Hamid Mohamad. 

“Pembaziran terus berlaku, wang rakyat sekali lagi digunakan untuk menampung kecuaian pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Dengan ini PAS menuntut satu siasatan telus demi hak dan kebaikan rakyat,” katanya. - HARAKAHDAILY 23/8/2014

No comments: