Friday, August 8, 2014

Wan Azizah: Saya tidak pandang jawatan

wan azizah
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pencalonannya  untuk jawatan Menteri Besar Selangor adalah kerana beliau ingin berkhidmat untuk rakyat.

“Apabila saya memasuki Kajang, saya melihat banyak masalah berlaku seperti kesesakan lalu lintas, sampah, kadar jenayah yang tinggi dan peningkatan kes denggi.

“Saya bukan semata-mata hanya ingin mendapatkan jawatan tetapi saya mahu bersama-sama menyelamatkan dan memperbetulkan keadaan terutamanya dalam aspek keadilan, kebersihan serta memacu Selangor untuk terus maju ke hadapan. Kita perlukan perubahan ini,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau memerlukan sokongan yang padu daripada rakyat dan sokongan itu perlu datang dari semua tanpa mengira kaum dan agama untuk memacu ekonomi negeri.
“Jika saya potong tangan saya, ia akan mengeluarkan darah merah sama dengan anda.
“Oleh itu kita tidak boleh merampas Al-Kitab dan menceroboh ke dalam kuil-kuil, kita tidak boleh. Kita mesti berhenti memberitahu satu sama lain untuk meninggalkan Malaysia,” katanya di Majlis Makan bersama Kak Wan di Padang Belia Kampung Baru.
Wan Azizah juga menepis cadangan yang mahu Azmin Ali dipertimbangkan sebagai seorang lagi calon bagi jawatan MB Selangor.
“Parti memilih saya, terima kasih.” katanya ketika diminta mengulas cadangan yang telah dibuat oleh Setiausaha PKR Selangor, Shuhaimi Shafie yang mengatakan bahawa Timbalan Presiden PKR itu juga memiliki keupayaan untuk memegang jawatan tersebut.
Walaubagaimanapun, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi parti hanya memilih Wan Azizah sahaja secara rasmi.
Wan Azizah kemudiannya berkata bahawa beliau menerima jawatan itu demi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jangan lupa, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan mahkamah untuk mensabitkan dan menjatuhkan Anwar. Ini merupakan satu kezaliman oleh kerajaan.
“Saya mengambil tanggungjawab tersebut untuk menentang kezaliman dan bertanding di Kajang dan saya menang untuk mengambil alih kerusi Kajang,” jelasnya.
Dr Wan Azizah merujuk kepada kes liwat Anwar yang disabitkan pada Mac lalu oleh Mahkamah Rayuan menjadi penyebab Anwar hilang kelayakan untuk bertanding di kerusi DUN Kajang dan seterusnya menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar.
Ujarnya lagi, tindakan BN menggunakan mahkamah untuk jatuhkan Anwar adalah satu kezaliman.
“Hari ini Anwar dilayan begini, esok kita tidak tahu siapa lagi yang akan jadi mangsa.
“Saya berharap dapat menyelesaikan masalah ini bersama-sama dan sekurang-kurangnya masalah sampah dapat diselesaikan dengan baik.
“Kami mahu melihat Selangor menjadi bersih, terbaik dan terus maju ke hadapan,” katanya sambil disambut dengan tepukan yang gemuruh daripada orang ramai.