Wednesday, September 10, 2014

Jangan kerana isu MB, Pas pula berpecah


  • Isu MB Selangor
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pucuk pimpinan Pas perlu duduk berbincang bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti itu sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Fuad Mad Jali berkata, isu Menteri Besar Selangor sepatutnya tidak mengheret Pas untuk turut sama bergolak seperti PKR.

“Pas sepatutnya lebih terbuka dalam isu ini dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh presiden,” katanya.


Menurutnya, keadaan ketika ini agak merisaukan apabila sudah ada tanda-tanda perpecahan apabila dua kumpulan berbeza dalam Pas semakin lantang bersuara.

“Perselisihan antara kumpulan ulama dan profesional nampak jelas, jika tidak dikawal dikhuatiri akan memberi impak kepada keseluruhan parti dan akhirnya menggugat sokongan rakyat,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, politik berpuak wujud dalam semua parti, namun apa yang merisaukan apabila masalah itu tidak dikawal dengan baik.

Beliau berkata, Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang akan berlangsung bulan ini adalah jalan terbaik untuk memulihkan keadaan dalam parti.

“Pasti akan ada timbul banyak persoalan daripada perwakilan, namun itulah jalan terbaik untuk beliau jelaskan kenapa keputusan (berkaitan isu Menteri Besar Selangor) diambil.

“Selain itu, inilah masalah untuk ulama dan profesional berwacana bersama bagi mencari jalan penyelesaian di atas kemelut yang berlaku,” katanya.

1 comment:

1Crony said...

Semasa muktamar PAS ke 60 nanti disyor adakan satu slot khas dimana PAS menjemput wakil PKR iaitu Rafizi dan Saifuddin Nasution sekali bagi menjelaskan "Langkah Kajang" kepada semua ahli PAS supaya nanti tidak menjadi suatu fitnah atau syok sendiri menuduh PKR dengan pelbagai tomahan tanpa ada jawapan yang pasti dari parti PKR. Saya pasti kedua-dua mereka pastinya dengan mudah dapat menjawab segala soalan dan tomahan dari segenap ahli PAS yang hadir. Saya yakin 80% ahli PAS masih tidak faham apa itu "Langkah Kajang" dan sering menyerang PKR dengan momentum tersebut. Sekiranya PAS sebuah parti yang mementingkan integriti dan syura dalam Islam, sila laksanakan perkara ini.